Pertama kali dalam sejarah negara, Datuk Seri Najib Tun Razak telah menjadi bekas perdana menteri pertama yang dipenjarakan atas kesalahan menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.
Keputusan yang mendukacitakan buat bekas PM ini telah diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan semalam (Selasa) yang mengekalkan sabitan dan hukuman penjara selama 12 tahun berserta denda RM210 juta atau penjara 5 tahun jika gagal menjelaskan denda selepas 4 tahun kes ini berlangsung.
Najib bakal hilang kelayakan Ahli Parlimen Pekan?
Menurut Berita Harian, Datuk Seri Najib akan kehilangan kelayakannya sebagai Ahli Parlimen Pekan secara automatik selepas 14 hari, bermula hari ini jika tiada sebarang prosedur mahkamah lain atau pengampunan diraja diterima dalam tempoh berkenaan.
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun berkata, ia selaras dengan Perkara 48 Perlembagaan Persekutuan yang peruntukkan seseorang individu hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen jika beliau disabitkan kesalahan dan dihukum penjara lebih setahun atau denda tak kurang daripada RM2,000 serta tidak mendapat pengampunan bebas.
Buat masa ini, Parlimen perlu menunggu notis rasmi daripada Mahkamah Persekutuan yang memaklumkan mengenai hukuman yang dijatuhkan kepada Najib.
“Sekarang sudah tiada lagi rayuan kerana hukuman diputuskan di Mahkamah Persekutuan, namun Perkara 48(4)(b) juga ada menyebut jika ada apa-apa prosiding mahkamah lain, maka kedudukan Najib kekal sehingga prosiding itu selesai.
“Saya perlu meneliti dahulu sama ada prosiding itu termasuk semakan, kerana proses semakan ini ada dalam tatacara mahkamah.
“Jika termasuk dan Najib memfailkan semakan itu dalam 14 hari, maka kedudukannya sebagai Ahli Parlimen Pekan kekal sehingga prosiding semakan tamat.
“Pada masa sama, Perkara 48 juga peruntukkan jika dalam 14 hari terdapat permohonan untuk pengampunan diraja, maka kedudukannya kekal sehingga proses pengampunan selesai,” katanya.
Terdahulu, Najib, 69, telah dihantar ke Penjara Kajang pada jam 6.47 petang dengan menaiki sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) berwarna hitam sambil diiringi beberapa kenderaan polis.
Sebelum dibacakan sabitan, Najib sempat juga berjumpa penyokongnya di luar Istana Kehakiman dan memohon maaf jika keputusan mahkamah tidak memihak kepada beliau.
Agaknya siapa akan ganti Najib jika dia bukan lagi Ahli Parlimen Pekan ye?
Baca: [TERKINI] Petugas Media Berkerumun di Penjara Sungai Buloh Tunggu Ketibaan Najib Razak