Ahli keluarga kepada anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang didakwa cuba membunuh diri dengan terjun dari tingkat 3 bangunan kediaman sebuah kem tentera di Batu Pahat 29 Ogos lalu, mahu siasatan kejadian tersebut dijalankan dengan adil.
Menurut Berita Harian, ahli keluarga Allahyarham Abdul Aziz Aznam, 20, memberitahu yang terdapat parut di wajah mangsa selain dalam keadaan tidak terurus ketika dia pulang ke rumah keluarganya di Ipoh, Perak pada Januari lalu.
“Parut luka berkenaan dipercayai akibat digosok dengan berus besi dan mangsa didakwa sering kali ditumbuk ketika berada di kem.
“Arwah lari dari kem sebab tak tahan kena ‘ragging’ dan dia balik ke kampung dengan keadaan yang tidak terurus.
“Arwah ada menunjukkan gambar yang diambilnya terdapat kesan lebam-lebam lama di keseluruhan bahagian badan dan dia menyatakan tidak tahan kerana diperlakukan begitu,” kata sumber.
Dihantar ke kem dalam keadaan sempurna tetapi…
Pun begitu, arwah katanya secara suka rela telah pulang ke kem semula pada 28 Ogos dan sehari selepas itu dilaporkan dalam keadaan kritikal.
“Ahli keluarga sudah menasihatkan mangsa supaya pulang semula ke kem dan dia pun suka rela melakukannya.
“Arwah dihantar ke kem berkenaan dan waktu itu keadaan kesihatannya baik dan sempurna.
“Keesokan harinya, kira-kira 3 pagi saya dan ahli keluarga dihubungi seorang pegawai tentera yang memaklumkan Allahyarham jatuh dari bangunan tingkat tiga di kem.
“Pegawai berkenaan menyatakan bahawa pada jam 12 tengah malam mangsa dibawa ke hospital kerana mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan dada serta dalam keadaan kritikal,” katanya.
Selepas mengetahui kejadian yang berlaku, mereka sekeluarga bergegas ke ICU HSNI untuk melihat keadaan mangsa.
“Ahli keluarga terus membuat laporan polis bagi tindakan selanjutnya dan mengharapkan pihak ATM bertanggungjawab untuk membuat tindakan lanjut.
“Ahli keluarga meminta pihak hospital membuat laporan perubatan yang telus ke atas mangsa yang dipercayai dibuli, dera dan berlaku khianat ketika mangsa berada di kem tentera berkenaan,” katanya lagi.
Setakat ini, pihak polis masih membuat siasatan dari semua aspek untuk mengenal pasti punca mangsa mengambil tindakan terjun dari tingkat 3 tempoh hari.
Semoga kes ini dapat diadili dengan sebaiknya.