in

“Pintu neraka sedang terbuka” – Israel Beri Amaran Teruskan Serangan, Bunuh 51 Penduduk Gaza

4gaza

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Sekurang-kurangnya 51 penduduk Palestin termasuk beberapa kanak-kanak terbunuh dalam siri serangan udara dan darat tentera Israel di kawasan padat Bandaraya Gaza pada Jumaat. Serangan itu menambah jumlah korban yang semakin meningkat selain menyebabkan puluhan keluarga kehilangan tempat perlindungan.

Antara lokasi utama yang menjadi sasaran ialah Menara Mushtaha, sebuah bangunan 12 tingkat yang dibom dua kali oleh jet pejuang Israel. Tentera mendakwa ia digunakan Hamas, namun pengurusan bangunan menafikan dan menegaskan ia menempatkan pelarian. Mangsa yang terselamat kebanyakannya dikejarkan ke Hospital al-Shifa untuk rawatan kecemasan.


Screenshot 2025 09 06 at 2.55.59 PM

Memetik laporan Astro Awani, Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz, memberi amaran bahawa “pintu neraka sedang terbuka” dan operasi ketenteraan akan diteruskan sehingga Hamas menyerah sepenuhnya. Israel mendakwa kini menguasai 40 peratus Bandaraya Gaza dan 75 peratus wilayah keseluruhan, dengan serangan semakin menyasarkan bangunan tinggi, khemah pelarian dan kawasan kediaman.

Kementerian Kesihatan Gaza melaporkan 30 peratus daripada korban adalah kanak-kanak, bersamaan purata 28 kematian kanak-kanak setiap hari sejak Oktober 2023. UNICEF pula menyifatkan keadaan kemanusiaan di Gaza sebagai semakin kritikal dengan ribuan orang awam terperangkap tanpa perlindungan selamat.

Sejak perang tercetus, lebih 64,000 penduduk Palestin dilaporkan terbunuh manakala lebih 160,000 lagi cedera. Meskipun komuniti antarabangsa terus mendesak gencatan senjata segera, kenyataan keras kepimpinan Israel menandakan konflik bakal berlanjutan dengan tahap keganasan yang lebih dahsyat.

 

Baca: “Akhirnya saya dapat rasa kopi…” – Rakyat Gaza Kebuluran, Korban Kini Melepasi 63,000 Orang

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.