Seekor cacing sepanjang 8 sentimeter telah dikeluarkan dari otak seorang pesakit wanita Australia berusia 64 tahun oleh pakar bedah saraf selepas melakukan siasatan lanjut berkenaan simptom misteri yang dihadapi oleh wanita berkenaan.
Menurut pakar bedah berkenaan, Hari Priya Bandi berkata, dia sedang melakukan rutin pembedahan biasa sebelum mendapati terdapat seekor cacing parasit yang masih hidup.
Dia kemudiannya terus mengeluarkan cacing berkenaan daripada pesakit menggunakan forsep dan menurutnya, ini merupakan kes pertama seumpamanya di dunia.
Cacing gelang atau nama saintifiknya Ophidascaris robertsi tersebut masih bergerak dan menurut kajian kes yang pernah diterbitkan oleh jurnal kesihatan sebelum ini, mereka mendapati spesis berkenaan bukanlah parasit kepada manusia.
Menurut doktor bertugas, simptom awal wanita berkenaan bermula sejak Januari 2021. Dia mengadu mengalami sakit perut dan cirit birit, diikuti dengan demam, batuk dan sesak nafas dan kemudiannya dimasukkan ke hospital tempatan selepas mengalami simptom terseut selama tiga minggu.
Tambah para doktor tersebut, simptom ini berkemungkinan disebabkan pergerakan larva ulat berkenaan dari satu organ ke organ yang lain seperti hati dan paru-paru.
Pada 2022, doktor mengesahkan bahawa pesakit mengalami masalah pelupa dan kemurungan. Ini menyebabkan imbasan MRI terpaksa dijalankan dan mendapati ada kecederaan pada lobus hadapan bahagian kanan otak.
Pada awalnya, doktor beranggapan bahawa hasil biopsi otak pesakit akan menunjukkan bahawa dia menghidapi kanser.
Namun, selepas pembedahan untuk mengeluarkan cacing tersebut dijalankan, pesakit telah dihantar pulang dan diberikan ubat antiparasit.
Dalam pada itu, cacing gelang ini biasanya terdapat pada ular sawa. Larvanya biasanya ditemui dalam mamalia kecil dan marsupial, yang kemudiannya dimakan oleh ular sawa, membolehkan kitaran hidup berlaku di dalam badan ular.
Mereka menambah walaupun cacing khusus yang dimaksudkan hanya ditemui di Australia, spesies lain yang serupa ada ditemui di tempat lain di dunia, ini bermakna terdapat potensi untuk lebih banyak kes pada masa hadapan.
Baca : Cacing 2 Meter Keluar Daripada Badan, Lelaki Beri Amaran Jangan Makan Daging Mentah