Sebelum ini, kisah seorang bapa yang membawa bayinya menaiki motor sambil memakai alat bantuan pernafasan untuk ke hospital telah mengundang rasa sebak rakyat Malaysia.
Selepas beberapa ketika kisah mereka tular, si bapa, Mohd Azlan Ishak, 36, mengakui bahawa hidupnya kini semakin baik.
Artikel berkaitan : Pasangan Tular Bawa Bayi Dengan Motosikal Dikatakan Masih Belum Berkahwin?
Artikel berkaitan : “Saya tak tahu nak ucap macam mana” – Bapa Bayi Pakai Alat Pernafasan Sebak Terima Bantuan Kereta
Kata Azlan, dia merasa lega dapat meneruskan hidup secara sederhana, apa yang penting bagi dirinya adalah melihat anaknya itu kembali sihat dan ceria.
Tambahnya, anaknya yang dikenali sebagai Aariz Zafran kini ada menunjukkan perkembangan positif walaupun dilahirkan dengan masalah paru-paru kronik dan bergantung pada alat bantuan pernafasan sejak kecil.
“Saya bersyukur kehidupan selepas berkahwin ini lebih baik daripada sebelum ini. Ibarat rama-rama keluar daripada kepompong, hidup kami sekeluarga jadi lebih bebas dan terbuka.”
“Keadaan Aariz semakin pulih. Dia tak lagi bergantung sepenuhnya kepada oksigen. Pagi dan malam dia boleh bermain selama 3 jam tanpa tanngki oksigen. Cuma, guna tangki sepenuhnya waktu tidur sahaja.”
“Berat anak saya dah mencecah 17 kilogram pada usia setahun 5 bulan. Rasa sebak tengok dia mula berjalan dan sudah mula pandai panggil saya dengan panggilan abah.”
Selain itu, Azlan kini masih lagi bekerja sebagai pembantu di pelantar ikan dan menghantar stok bahan mentah di sekitar Sungai Petani menggunakan motosikalnya sendiri.
“Kereta masih dalam keadaan baik dan kami gunakan untuk urusan keluarga. Syukur sangat dengan bantuan yang diberikan. Bantuan kewangan itu pula memang saya gunakan sepenuhnya untuk keperluan anak, termasuk masa depannya nanti. Tapi untuk keperluan harian, saya tetap berusaha dengan kudrat sendiri.”
“Sebelum dapat bantuan pun tak ada masalah saya tanggung dia cuma Allah bagi rezeki lebih jaga anak sakit. Jadi biaya untuk anak saya nak belajar bila sudah besar nanti pun sudah tak perlu risau lagi, boleh guna duit bantuan ini.”
Untuk rekod, Azlan menerima bantuan bulanan sebanyak RM500 daripada JKM untuk menyara anaknya dan menerima bantuan kewangan kira-kira RM 100,000 hasil sumbangan orang ramai. Biarpun menerima jumlah yang banyak, Azlan tidak ambil kesempatan dan tetap bekerja keras untuk sara keluarga.
Dalam pada itu, pernah timbul spekulasi mengenai status perkahwinannya dan Azlan membuat pengakuan bahawa dia pada waktu itu masih belum berkahwin dengan Norhidayu 36, tetapi tinggal bersama.
Bagaimanapun, mereka segera bernikah pada 28 Mei lalu dan kini masih menetap di kediaman sama di Taman Kota Nelayan, Kedah. Mengambil ikhtibar terhadap perkara tersebut, Azlan mengatakan bahawa pengalaman itu banyak mengajar dirinya untuk berusaha dan berubah menjadi seorang suami dan bapa yang lebih baik.
Sumber : mStar