Lelaki yang pernah mencetuskan beberapa kontroversi menerusi hantarannya yang menghina agama Islam, Alvin Tan mendakwa secara rasmi telah menjadi warganegara Amerika Syarikat (AS) selepas mendapat suaka politik di negara itu.
Alvin atau nama sebenarnya Tan Jye Yee yang berkongsi berita itu dalam satu hantaran di laman Facebooknya berkata, kelulusan itu diperoleh selepas beberapa bulan berada dalam tahanan imigresen di negara berkenaan.
Menurutnya, dia memasuki AS dengan menyerah diri di sempadan Mexico-AS selepas pasport antarabangsanya dibatalkan oleh kerajaan Malaysia.
Artikel berkaitan: “Memang tidak patut” – Lelaki Keluarkan Kenyataan Berbaur Perkauman Mohon Maaf, Akui Terlalu Marah
“Mulanya saya melarikan diri ke Singapura, kemudian ke United Kingdom dan seterusnya ke Mexico.
“Dari Mexico, saya berjalan ke arah pegawai Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) AS dengan menyatakan bahawa saya tidak mempunyai pasport serta visa,” katanya.
Dia kemudian digari sebelum diserahkan kepada penguat kuasa imigresen dan Kastam AS (ICE) serta diberi peluang membela diri dalam permohonan suakanya.
Katanya, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri menggambarkannya sebagai seorang provokator yang sengaja menyinggung Islam, tetapi hakim yang mengendalikan kesnya tidak bersetuju.
Hakim terbabit memihak kepada Alvin dan membuka pintu baru kepadanya untuk mendapatkan kad hijau dan kini dia menerima kewarganegaraan AS selepas satu dekad hidup dalam ketidakpastian.
Walaupun tidak dapat kembali ke Malaysia, Alvin menyatakan bahawa dia tidak menyesali dengan keputusannya.
Terdahulu, sekitar tahun 2013, Alvin dan bekas teman wanitanya, Vivian Lee May Ling, didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tuduhan menyiarkan gambar mereka menikmati hidangan dengan kapsyen “Selamat Berbuka Puasa (dengan Bak Kut Teh… wangi, enak dan menyelerakan)” yang mengandungi logo halal di Facebooknya.
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 9 pagi, 12 Julai 2013, mengikut Subseksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948.
Bukan itu sahaja, mereka turut didakwa menyiarkan gambar pornografi di laman Facebook sama mengikut Subseksyen 5(1) Akta Penapisan Filem 2002 antara jam 9 malam, 6 Julai 2013, dan 2 pagi, 7 Julai 2013.
Namun, Alvin melarikan diri ke Singapura selepas mahkamah membenarkan pelepasan sementara pasportnya atas alasan mahu menjalani penggambaran di negara itu.
Sumber: Sinar Harian, Facebook