Media sosial hari ini digemparkan dengan berita seorang bekas pemain bola sepak tempatan yang ditahan kerana didakwa terlibat dengan satu kes samun di Benut, Johor.
Bekas pemain bola sepak yang berusia 33 tahun itu ditahan selepas melakukan jenayah pecah rumah sehingga menyebabkan mangsa mengalami kerugian sehingga puluhan ribu ringgit.
Menurut laporan Astro AWANI, atlet yang pernah beraksi dalam Liga Super itu diberkas polis selepas dilihat berada dalam keadaan yang mencurigakan sebelum mendapati dia disyaki terbabit dalam satu kejadian pecah rumah.
“Apabila polis cuba menahannya, suspek yang enggan memberikan kerjasama cuba bertindak agresif menyebabkan berlaku sedikit pergelutan.
Hasil siasatan, suspek mengaku melakukan aktiviti pecah rumah sebelum dia bersama seorang lagi rakannya menunjukkan lokasi di mana hasil rompakan disimpan,” menurut sumber.
Difahamkan, bekas pemain bola sepak itu serta rakannya ditahan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan, Timbalan Ketua Polis Daerah Pontian, Deputi Superintenden Abdul Hamid Abd Rahman mengesahkan kejadian itu dan memaklumkan kes terbabit masih dalam siasatan.
Sebagai info, suspek difahamkan pernah beraksi bersama beberapa pasukan gergasi Liga Super di selatan dan utara tanah air.
Selain itu, dia juga pernah beraksi dalam Liga Thailand selama dua tahun malah turut pernah menjalani pemilihan bersama kelab berpangkalan di Jepun.
Baca: Bekas Kekasih Pemain Bola Sepak Ditahan Polis, Didakwa Rosakkan Pintu Rumah