in

PERKESO Salurkan Bantuan kepada Hampir 50,000 Prospek, Tegaskan Keadilan Sosial Menerusi Social Synergy

ft perkeso synergy 2.0

Kongres Social Synergy 2025 yang diadakan pada 5 Ogos 2025 di Royale Chulan Hotel, Kuala Lumpur, menjadi platform penting untuk mendefinisikan kembali Program Social Synergy.

Dalam teks ucapan aluannya, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO, YBhg. Dato’ Sri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed, menyoroti perjalanan program tersebut dan mengajak hadirin untuk mempertimbangkan apakah Social Synergy adalah sekadar proses atau sebuah budaya kerja.

Tambahnya lagi, Program Social Synergy bermula pada tahun 2017 sebagai cetusan idea PERKESO dengan tujuan utamanya adalah untuk membasmi kemiskinan, meningkatkan pendapatan rakyat, dan memastikan tiada golongan yang layak, khususnya golongan B40, tercicir daripada menerima bantuan.

Screenshot 2025 08 05 141903

Selain itu, program ini dibangunkan sebagai respons terhadap isu “exclusion error” atau ralat penyisihan, di mana survei pada tahun 2018 menunjukkan 34% isi rumah di Malaysia yang layak tidak menerima bantuan kewangan.

Laporan Bank Negara Malaysia pada tahun 2019 juga mendedahkan bahawa walaupun sejumlah RM17.1 bilion diperuntukkan untuk 60 program sosial, masih ramai masyarakat yang terpinggir.

Menurut Azman lagi, Program Social Synergy berfungsi sebagai “mata dan telinga” PERKESO, merekodkan 979 kolaborasi yang melibatkan 117 agensi dan 862 pemimpin masyarakat di seluruh negara.

DSC01287

Rakan strategik ini menyalurkan maklumat kepada PERKESO, contohnya apabila berlaku kematian, untuk menyemak kelayakan waris bagi mendapatkan faedah. Melalui pendekatan ini, individu yang memerlukan bantuan tidak lagi perlu berurusan dengan pelbagai agensi secara berasingan. Sejak 2019 hingga Julai 2025, sebanyak 44,998 prospek dari seluruh negara telah disalurkan untuk menerima bantuan dari pelbagai agensi.

PERKESO mengambil pendekatan proaktif, mencari pencarum dan waris yang layak di lapangan, agar menjadi pihak pertama yang membantu keluarga yang berduka, bukannya pemungut hutang. Kisah adik Maizatul Akmal Mahat dari Kuantan, Pahang, adalah salah satu contoh kejayaan.

Berkat perkongsian maklumat dari rakan strategik Social Synergy, PERKESO dapat membantu adik Maizatul yang kehilangan kedua ibu bapanya akibat strok. Beliau menerima tunggakan Pencen Penakat lebih RM10,000 dan faedah Bantuan Ilat, serta diambil sebagai anak angkat PERKESO. Adik Maizatul berjaya menamatkan pengajian kejuruteraan kimia di Universiti Teknologi PETRONAS (UTP) dengan CGPA 3.45 dan kini dibantu mencari pekerjaan melalui portal MyFutureJobs.

Selain itu, PERKESO juga berkolaborasi dengan Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ MAIWP) untuk membantu Encik Mohammad Yunus Zakaria, yang menghidap kegagalan buah pinggang. Bantuan kewangan diberikan untuk kos pembedahan dan alat pemulihan, manakala anaknya dibantu mendapatkan pekerjaan melalui MyFutureJobs.

Penganjuran kongres ini, yang kini memasuki edisi ketiga, bermatlamat untuk menoktahkan kemiskinan tegar dan membina jaringan perlindungan sosial yang inklusif dan mampan. Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO berharap agar Program Social Synergy dapat diangkat sebagai Platform Keselamatan Sosial Rasmi Negara, selaras dengan matlamat Malaysia MADANI yang menekankan Kemampanan, Kesejahteraan, dan Ihsan.