Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah memutuskan untuk memanggil sidang Parlimen secepat mungkin iaitu sebelum 1 Ogos ini.
Menurut Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen & Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan, perkara tersebut akan dimuktamadkan pada Mesyuarat Jemaah Menteri pada Rabu depan.
“Kerajaan Persekutuan sentiasa menjunjung titah pandangan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam semua hal berkaitan pemerintahan negara termasuklah berhubung persidangan Parlimen,” katanya menurut Berita Harian.
Perkara ini diputuskan apabila pada Selasa lalu, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah, menzahirkan pandangan persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin bagi membolehkan Proklamasi Darurat dan Ordinan-ordinan Darurat dapat dibentang di Parlimen seperti yang termaktub dalam Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan.
Menurut sumber juga, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin dalam satu kenyataan berkata, baginda menzahirkan pandangan itu susulan sesi menghadap dilakukan oleh Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim dan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun di Istana Negara serta lanjutan daripada sesi Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu yang berlangsung pada 16 Jun yang lalu.
Sebagai tambahan, parlimen sudah hampir 6 bulan tidak bersidang selepas Yang di-Pertuan Agong memberi perkenan supaya Proklamasi Darurat untuk dilaksanakan di seluruh negara hingga 1 Ogos sebagai langkah proaktif bagi membendung wabak COVID-19 pada 11 Januari lalu.
Walau bagaimanapun, Al-Sultan Abdullah bertitah pada 24 Februari lalu bahawa parlimen boleh bersidang ketika tempoh darurat berkuat kuasa pada suatu tarikh yang difikirkan sesuai oleh baginda atas nasihat Perdana Menteri.
Perdana Menteri turut menyatakan ketika menyampaikan perutusan Pelan Pemulihan Negara pada 15 Jun lalu, sidang Parlimen boleh diadakan sekitar September atau Oktober dengan mengikut SOP ditetapkan.
Namun, Al-Sultan Abdullah menzahirkan pandangan supaya sidang Parlimen persidangan Parlimen diadakan secepat mungkin bagi membolehkan pelan pemulihan negara dan pelaksanaan Ordinan Darurat 2021 dibahaskan oleh Ahli Dewan Rakyat selepas baginda mempengerusikan Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu.
Baca : Agong Sekali Lagi Minta Parlimen Diadakan Secepat Mungkin