Sejak kecil, kita sudah diajar untuk menjadi ringan tulang dan membantu orang yang berada di dalam kesusahan. Malah tanpa perlu diajar pun, kita akan menghulurkan bantuan kepada orang sekeliling tanpa perlu diminta atau disuruh. Ini adalah tanda seseorang itu mempunyai sikap empati kepada orang lain.
Namun, bagaimana pula jika seseorang itu berasa terkilan kerana tidak menerima ucapan terima kasih selepas menghulurkan bantuan? Adakah ini satu bentuk amalan ‘buruk siku’ ataupun kita wajar berasa kecewa kerana sifat baik kita tidak dihargai.
Untuk pengetahuan anda, terdapat perbezaan di antara suka membuat baik dengan menjadi ‘people pleaser’. Buat yang tidak tahu, ‘people pleaser’ bermaksud kita membuat kebaikan untuk menggembirakan hati orang lain dengan harapan orang tersebut akan berbuat baik dengan kita.
Meskipun menjadi ‘people pleaser’ ini tidak memberi kesan buruk kepada sesiapa, ia secara tidak langsung akan memberi kesan kepada diri kita dari segi emosi dan mental. Kita akan menjadi toksik kepada diri sendiri dan hanya membantu orang yang boleh memberikan kita kebaikan.
Jadi, bagaimana mahu membezakan sikap ‘people pleaser’ dan benar-benar suka membantu orang lain?
1. Mengharapkan ‘validation’ atau pujian
Individu dengan sikap ‘people pleaser’ kebiasaannya akan berbuat baik untuk mendapatkan ‘validation’ dan pujian daripada orang lain. Manakala orang normal akan membantu orang lain tanpa peduli tentang pendapat masyarakat sekeliling.
Jika anda mempunyai ciri-ciri tersebut, cuba untuk tidak mengharapkan apa-apa jika selepas anda membantu orang lain.
2. Berbuat baik kerana rasa itu satu tanggungjawab
Tidak dinafikan, berbuat baik kepada orang lain memang satu perkara yang baik. Namun, jika anda berasa perlu sentiasa berbuat baik kepada orang sekeliling kerana itu tanggungjawab anda untuk membuat mereka gembira, itu adalah satu sikap yang tidak bagus untuk diri sendiri.
Kita boleh berbuat baik kepada orang lain tanpa mengorbankan kebahagiaan diri sendiri. Ingat, kita tidak bertanggungjawab ke atas kebahagiaan orang lain!
3. Tetap berbuat baik meskipun diri disakiti
Seperti yang dinyatakan tadi, berbuat baik kepada orang lain bukanlah satu perkara yang tidak baik. Namun jika anda berbuat baik kepada seseorang meskipun disakiti individu terbabit, ia menunjukkan anda ialah seorang ‘people pleaser’.
Sebagai contoh, ada masih berbuat baik kepada bekas kekasih meskipun sudah dicurangi dan ditipu berkali-kali. Mengapa perlu merendahkan diri sendiri?
Dunia sudah memasuki tahun 2023, berhentilah menjadi ‘people pleaser’ semata-mata mahu membuat orang lain suka dan senang dengan kita. Kita bertanggungjawab ke atas kebahagiaan diri sendiri, jadi tak perlu mengharapkan orang lain untuk menyumbang kepada kebahagian kita.
Ada orang minta tolong? Tolong mereka tanpa mengharapkan apa-apa balasan. Wanita idaman tidak membalas cinta? Berhenti berharap dan fokus kepada diri sendiri. Rasa tidak gembira? Bahagiakan diri sendiri tanpa mengharapkan bantuan orang lain.
Selamat mencuba!
Kredit: Psychology Today
BACA: Ini Cara Untuk Berjumpa Dengan Pakar Psikiatri Buat Mereka Yang Alami Depresi