Minggu lalu seluruh Malaysia menikmati cuti panjang bersempena dengan Hari Raya Aidilfitri. Ini bermaksud ramai yang mengambil kesempatan untuk berjalan dan melancong termasuklah rakyat Singapura yang tidak melepaskan peluang untuk melancong ke Malaysia.
Namun, sekumpulan rakyat Singapura mendapat nasib malang ketika mahu pulang dari Kuala Lumpur pada 26 Jun lalu apabila mereka berdepan dengan pemandu bas yang tidak bertanggungjawab.
Menurut Stomp, kesemua penumpang yang menaiki bas dari Malaysia itu bertolak pada jam 5.15 petang dan perjalanan lancar sehinggalah mereka tiba di checkpoint Johor pada jam 12.15 pagi.
Kesemua penumpang turun dari bas untuk melalui prosedur imigresen dan seperti kebiasaan setiap orang hanya membawa barangan penting, meninggalkan bagasi serta beg pakaian mereka di dalam bas. Selepas melepasi imigresen, mereka hairan kerana bas itu tidak ada di kawasan tersebut.
Salah seorang penumpang bas itu, Shajahan berkata,
“Kami menunggu selama 45 minit sehingga pemandu bas lain tiba dan memberitahu kami untuk menaiki bas yang baru. Pada ketika itulah baru kami sedar bahawa pemandu bas yang kami naiki sebelum itu telah pergi bersama barangan berharga serta bagasi.”
Para penumpang bas itu mengalami kerugian ribuan ringgit memandangkan banyak barangan berharga mereka diletakkan di dalam bagasi.
Shajahan sendiri memberitahu bahawa dia kerugian hingga S$3,500 (lebih kurang RM10,900) kerana komputer riba, pakaian serta wang tunai bernilai S$800 (RM2,490) berada di dalam bagasinya. Seorang lagi lelaki turut menganggarkan kerugiannya lebih daripada itu memandangkan beberapa barangan serta barang kemas diletakkan di dalam bagasi. Banyak tuuuu!
Mereka kemudian segera membuat laporan polis kerana takut maklumat peribadi mereka akan disalahgunakan. Polis Malaysia berjaya menghubungi pemandu bas itu yang kemudian berjanji mahu kembali semula tetapi tidak muncul-muncul.
Pemandu itu malah turut memberitahu polis bahawa tiada apa barangan berada di dalam bas tersebut!
Lebih mengeruhkan keadaan, bas ganti yang disediakan turut meninggalkan penumpang yang bernasib malang itu, menyebabkan mereka perlu mengeluarkan duit lebih untuk menaiki bas lain pulang ke rumah.
“Ketika dalam perjalanan pulang ke Singapura dari checkpoint di Johor menaiki bas ganti, kami lihat bagasi milik dua penumpang terbiar di tepi jalan dan dalam keadaan terbuka,” kata Shajahan.
Bukan itu sahaja, para penumpang yang tidak berpuas hati cuba meminta penjelasan dari pejabat pengendali pelancongan di Singapura namun mereka tidak dilayan.
“Mereka tidak peduli langsung untuk lihat keadaan kami atau mohon maaf atau menawarkan pampasan. Mereka memberitahu bahawa mereka hanya berhubung dengan pihak ketiga jadi tiada apa yang dapat mereka lakukan. Ini memang pengalaman tidak menyenangkan.”
Hari ini, The Star melaporkan bahawa pemandu bas itu telah pun digantung kerja dan akan menyelesaikan siasatan. Ketika disoal, pemandu berkenaan memberi alasan bahawa dia mahu kembali memulangkan barangan semua penumpang namun tersangkut di dalam kesesakan jalan raya. Yelah kau!
Diharap syarikat bas dapat selesaikan isu ini bersama para penumpang dengan kadar segera!
Baca: 26 Penumpang Bas Ekspres Derita Digigit Pepijat Dari Kuala Lumpur ke Singapura