Umum ketahui, Makkah ialah kota paling suci bagi umat Islam. Lebih kurang 1.5 bilion Muslim tidak kira tempat mereka berada, pasti akan menghadap kiblat di Kota Makkah untuk menunaikan kewajipan solat lima waktu dalam sehari.
Pastinya, adalah menjadi impian setiap orang Muslim untuk setidaknya menjejakkan kaki ke Baitullah sekali dalam seumur hidup baik untuk melakukan umrah, mahupun mengerjakan haji bagi mereka yang berkemampuan.
Tidak seperti ibadah Haji yang khusus dilakukan pada musim haji iaitu pada bulan Zulhijjah, ibadah umrah boleh dilakukan pada bila-bila masa.
Namun, perlu diingatkan, walaupun berada di tanah suci, mereka yang berniat jahat tetap ada dan menunggu masa untuk mengambil kesempatan ke atas jemaah yang tiba untuk mengerjakan ibadah tersebut.
Seperti perkongsian di TikTok oleh Farisul Islam, seorang perunding umrah, dia mengingatkan bakal jemaah yang ingin mengerjakan umrah ke tanah suci supaya berhati-hati dengan penipuan-penipuan yang ada di sana.
Menurut dua video yang dikongsikannya, ada beberapa jenis scam yang berlaku di Mekah, salah satu daripadanya adalah tawaran untuk mencium Hajarul Aswad dan ianya antara penipuan paling kerap berlaku.
“Mahu kucup Hajarul Aswad?”
Tambahnya lagi, perkara tersebut biasanya dilakukan ketika para jemaah sedang melakukan tawaf dan para penipu ini akan mendekati jemaah dan kononnya ingin memberikan bantuan supaya jemaah mudah dan boleh mencium Hajarul Aswad.
Biasanya ia akan dilakukan oleh 2 orang yang akan ‘membantu’ bukakan jalan supaya jemaah mudah merapati Kaabah dan seterusnya mencium batu hitam yang mempunyai bau yang wangi tersebut.
Selepas berjaya, mereka ini akan meminta bayaran terhadap ‘bantuan’ yang diberikan dengan harga SAR1000 (RM1,200). Lebih menakutkan, mereka ini akan mula mengugut dan mengekori jemaah sehingga ke hotel sehingga bayaran dibuat.
Selain itu, terdapat juga penipuan ‘bantuan’ mengambil gambar dan mereka akan mensasarkan jemaah yang melakukan ziarah menggunakan bas.
Sebaik sahaja turun dari bas, para scammer akan mula mencari ‘mangsa’ yang menggunakan telefon pintar untuk bergambar. Mereka akan tawarkan diri mereka untuk mengambilkan gambar menggunakan telefon jemaah.
@farisulislam93 Part 2.0 – Nak tolong ambil gambar boleh? Free je. ?AWAS!! Jangan percaya, itu ayat pancing scammer di Jabal Uhud atau Jabal Rahmah. Hati-hati semua #umrah2022 #umrahmalaysia #umrahconsultant #makkahmadinah? #tipsumrah #umrahmemories #tiktokviral ♬ For movie / picture / action / suspense – G-axis sound music
Kejadian penipuan seperti ini dikatakan sering dilakukan di Jabal Rahmah dan Jabal Uhud di Madinah, iaitu kawasan-kawasan ziarah yang menggunakan bas.
Modus yang digunakan amat mudah, mereka akan membantu ambilkan gambar menggunakan telefon sebelum mengeluarkan kamera jenis polaroid mereka sendiri untuk mengambil gambar para jemaah.
Kemudian, mereka akan meminta bayaran SAR100 (RM120) untuk empat keping gambar tanpa persetujuan terlebih dahulu. Lebih malang, mereka turut mengugut untuk mengambil telefon jemaah yang ada di tangan mereka sekiranya tidak menerima bayaran tersebut.
Meneliti ruangan komen, ramai yang turut berkongsi kisah penipuan yang turut berlaku kepada mereka ketika menziarahi kota Mekah dan juga Madinah. Rupanya memang ramai yang terkena dengan scammer dekat sana.
Diharapkan dengan perkongsian ini dapat dijadikan peringatan untuk mereka yang bakal ke tanah suci. Semoga ibadah yang dikerjakan diterima Allah s.w.t.
Baca : Arab Saudi Benarkan Wanita Lakukan Ibadah Haji & Umrah Tanpa Mahram