“Kot ye pun, takkan tak boleh tunggu sampai selesai lafaz ikrar perkahwinan?”
Begitulah antara reaksi netizen susulan satu video tular di internet yang memaparkan pihak polis menahan seorang pengantin lelaki di majlis perkahwinannya sendiri.

Mirror melaporkan, kejadian itu berlaku di El Guabo, Ecuador. Difahamkan, ketika kejadian, pengantin lelaki yang tidak didedahkan identitinya itu belum sempat melafazkan ikrar perkahwinan bersama kekasihnya di altar sebelum pihak polis tiba ke majlis dan menahan lelaki berkenaan atas tuduhan tidak memberi nafkah anak kepada seorang wanita lain.
Menerusi rakaman video yang berjaya dirakam salah seorang tetamu majlis, pengantin lelaki dilihat diiringi beberapa pegawai polis meninggalkan lokasi majlis perkahwinan sebelum dibawa pergi menaiki kereta polis.
Reaksi pengantin perempuan juga sempat dirakam dimana wanita yang juga tidak didedahkan identiti itu menjerit dan merayu kepada pihak berkuasa supaya tidak menahan tunangnya. Pun begitu, rayuannya tidak diendahkan.
Selepas pengantin lelaki dibawa pergi menaiki kereta polis, pengantin perempuan dilaporkan segera mengekor dengan menaiki kenderaan lain.
Media tempatan melaporkan, pengantin lelaki dikatakan berhutang beberapa bulan wang nafkah anak dengan bekas kekasihnya. Difahamkan, pengantin lelaki dan bekas kekasihnya ada beberapa orang anak bersama.

Pengantin lelaki difahamkan telah dibawa ke sebuah balai polis dan diminta untuk memberikan keterangan susulan dakwaan enggan memberi nafkah kepada anaknya dengan wanita lain.
Dalam pada itu, netizen di internet pula berbelah-bahagi dengan insiden terbabit selepas rakaman video di majlis perkahwinan itu tular.
Ada yang berpendapat pihak polis tak sepatutnya berkelakuan seperti itu dan boleh saja menunggu sehingga pengantin selesai melafazkan ikrar perkahwinannya sebelum menahan pengantin lelaki.
Ada juga yang mengkritik tindakan polis kerana disifatkan memalukan pihak pengantin perempuan dan keluarga.
Namun begitu, ada juga netizen yang mengatakan tindakan polis itu tepat dan mengecam pengantin lelaki.
“Duit nak kahwin ada tapi duit nak bagi anak-anak sendiri takde pulak,” tulis netizen.
Sumber: Mirror
Baca: Lelaki Bakal Dipenjara Lepas Tergamak Buat Sijil Kematian Isteri Semata-mata Nak Kahwin Lagi