Apa yang akan anda lakukan jika secara tiba-tiba anda mendapat habuan yang banyak tanpa disedari? Sebagai contoh, sejumlah wang yang besar didepositkan secara misteri atau tanpa sengaja ke dalam akaun bank anda?
Bagi lelaki ini, dia memilih untuk bersikap jujur dan bertindak memulangkan kembali wang tersebut. Menurut laporan, sejumlah wang telah didepositkan ke dalam akaun bank miliknya tanpa disengajakan.
Tindakan jujur lelaki berkenaan telah mendapat perhatian para netizen apabila anak perempuannya, Shena Lee memuat naik satu perkongsian panjang di Facebook menggambarkan tingkah laku mulia bapanya itu.
“Hari ini bapa saya telah pergi ke bank untuk mengemaskini buku akaun miliknya dan tiba-tiba dia mendapat tahu bahawa terdapat wang sebanyak RM 7,125.60 dideposit ke dalam akaunnya.”
Bapanya yang terkejut dengan jumlah itu kemudian menyuruh Shena untuk menghubungi pihak bank dan bertanya dari mana datangnya wang tersebut.
“Pihak bank menyuruh saya untuk membuat akaun perbankan online untuk bapa saya supaya dia dapat memeriksa transaksinya dan mengetahui dari mana datangnya wang misteri itu.”
Selepas mendapat akses transaksi akaun bapanya, Shena akhirnya mendapat tahu butiran individu yang telah mendepositkan wang berkenaan ke dalam akaun berkenaan.
“Pada waktu itulah kami mendapati bahawa terdapat sebuah syarikat yang telah tersilap deposit gaji pekerja mereka ke dalam akaun bapa saya.”
Menurut Shena, nama bapanya dan pekerja itu hampir sama malah mereka berdua juga memiliki nombor akaun bank yang lebih kurang serupa. Disebabkan persamaan itu, syarikat berkenaan menghadapi kecelaruan ketika mengisi butiran akaun. Oh, patutlah…
“Syarikat itu sangat berterima kasih atas kejujuran kami kerana jikalau tidak mereka tidak akan menyedari kesalahan itu. Ayah saya mengingatkan saya bahawa kita tidak boleh mengambil apa yang bukan milik kita dan mengatakan bahawa dia akan mengembalikan wang itu. Bapa saya juga berkata ini adalah wang hasil kerja keras pekerja tersebut dan walaupun dia tidak mempunyai banyak wang, dia tidak akan mengambilnya.”
Sikap kejujuran bapa Shena ini harus dipuji dan dicontohi. Maklumlah, zaman sekarang ni susah juga nak jumpa orang jujur…