ProtectHealth Corporation semalam telah mengeluarkan kenyataan bahawa penerima vaksin AstraZeneca masih belum boleh mendaftar terlebih dahulu untuk mendapatkan suntikan dos penggalak Covid-19 kerana kumpulan terawal hanya layak mendaftar seawal 8 Januari tahun hadapan.
Menerusi portal berita kesihatan CodeBlue, Ketua Pegawai Eksekutif ProtectHealth, Anas Alam Faizli berkata, mereka yang pada mulanya diberikan suntikan dos AstraZeneca-Oxford boleh mendaftar dalam senarai menunggu pusat vaksinasi (PPV) sebaik sahaja mereka memenuhi tempoh selang enam bulan yang disyorkan selepas mendapat suntikan dos kedua.
ProtectHealth ditubuhkan di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia kini menguruskan pengamal perubatan swasta yang terlibat dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).
“Penerima AstraZeneca yang layak akan mula menerima suntikan vaksin dos penggalak mereka apabila selang enam bulan tempoh selepas dos kedua dipenuhi. Pada mereka yang layak tetapi tidak menerima temujanji, mereka boleh mendaftar dalam senarai sandaran vaksin,” kata Anas.
Beliau juga menambah, buat masa ini masih belum ada penerima vaksin AstraZeneca yang layak menerima suntikan dos penggalak kerana selang enam bulan selepas suntikan dos kedua masih belum dipenuhi.
“Orang ramai boleh melayari laman web ProtectHealth untuk melihat senarai PPV, menghubungi PPV serta mendaftar butiran mereka di dalam senarai sandaran vaksin (dos penggalak),” jelas Anas.
Senarai sandaran vaksin itu nanti akan digunakan oleh PPV untuk memanggil individu bagi menggantikan sebarang ketidakhadiran.
Walau bagaimanapun, difahamkan terdapat PPV tertentu seperti Klinik Biomedicare dan Klinik Ceria di Johor, serta Klinik Penjagaan Keluarga Sepanggar di Sabah telah bersedia untuk memasukkan penerima vaksin yang tidak layak dalam senarai menunggu mereka.
Sumber: TheEdgeMarkets
Baca: Pengkaji Cipta Mikrocip Yang Boleh Simpan Data Vaksinasi Covid-19, Hanya Sebesar Beras