Baru-baru ini, kecoh di Korea Selatan apabila penduduknya telah panic buying membeli seberapa banyak mungkin garam laut yang boleh dibeli sebelum negara Jepun melepaskan air sisa nuklear mereka ke dalam laut.
Memandangkan Jepun dan Korea Selatan berdekatan, berita tentang pembuangan air sisa nuklear itu sudah pasti meresahkan rakyat Korea Selatan.
Ini kerana di Korea, terdapat banyak ladang garam di tepi laut dan jika air laut tercemar akibat sisa air buangan Jepun, ia boleh menyebabkan masalah kepada penghasilan stok garam di negara mereka.
Walau bagaimanapun, menurut Reuters, pihak negara Jepun telah menjamin bahawa mereka telah merawat air sisa radioaktif tersebut sebelum ia bakal dilepaskan nanti.
Difahamkan, air tersebut telah ditapis untuk menyingkirkan isotopes, jadi Jepun menjamin bahawa air yang akan dibuang itu selamat.
Untuk pengetahuan semua, air sisa yang telah dirawat dan bakal dilepaskan itu datang daripada loji kuasa nuklear yang rosak di mana air tersebut digunakan untuk menyejukkan reaktor-reaktor yang rosak di loji kuasa Fukushima selepas ia rosak akibat gempa bumi dan tsunami pada tahun 2011.
Walaupun telah dijamin keselamatannya oleh Jepun, namun para nelayan dan penduduk sekitar Jepun tetap runsing.
Menurut salah seorang suri rumah yang turut panic buying membeli garam, dia mengatakan dia sendiri telah membeli sehingga lima kilogram garam baru-baru ini.
Jabatan perikanan Korea Selatan juga mengatakan bahawa pihak mereka akan memantau dengan lebih rapat tentang tahap radioaktiviti di ladang garam negara itu.
Manakala makanan laut dari perairan berdekatan Fukushima pula telah diharamkan di Korea Selatan.
Walaupun tindakan Jepun itu dikritik oleh negara-negara jirannya seperti China dan Korea, namun menurut Jepun, pihak mereka telah menyediakan penjelasan yang teperinci berasaskan sains tentang rancangan mereka itu.
Sumber: Reuters