Selain di rumah, ramai gemar berbuka puasa di luar seperti di padang atau kawasan tanah lapang dan aktiviti ini juga sudah menjadi tradisi penduduk di negara ini.
Namun begitu, korang pasti terkejut ada tradisi berbuka di kawasan tanah perkuburan seperti yang dilakukan segelintir penduduk di Kelantan.
Bagaimanapun, tindakan berbuka puasa di kawasan tanah perkuburan dibimbangi menimbulkan pelanggaran adab dan akhlak, menurut Mufti Kelantan Datuk Mohamad Shukri Mohamad.
Beliau menyifatkan perbuatan sedemikian adalah kurang sesuai dilakukan susulan ia merupakan tempat tanah perkuburan yang mempunyai adab untuk diikuti, lapor Sinar Harian.
Ujarnya, beliau juga meminta orang ramai untuk melakukan aktiviti berbuka puasa itu di tempat yang sesuai dan lapang.
“Sebagai contoh masa ziarah kubur, kalau tidak pakai tudung (golongan wanita) perkara tersebut kurang elok atau semasa berbuka puasa bergaul dengan yang tidak sepatutnya…umpamanya.
“Itu akan jadi masalahnya. Jelaslah kalau begitu ia menjadi pelanggaran akhlak.
“Saya berpandangan eloklah cari tempat yang lebih sesuai, berbuka puasa di tempat lapang tiada salahnya sebagaimana yang dilakukan ketika ini seperti di atas padang,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan majlis berbuka puasa di tanah perkuburan telah dilakukan oleh penduduk di Kampung Alor Hijau, Pasir Puteh.
Difahamkan, aktiviti tersebut diadakan bagi mengeratkan silaturahim sanak saudara yang masih hidup dan merupakan acara tahunan penduduk di situ memperingati ahli keluarga yang telah meninggal dunia.
Baca: [VIDEO] Buka Puasa Tengah Jalan Dengan Jiran Dipertikai, Tuan Rumah Tampil Beri Respon