Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor memaklumkan bahawa pembesar suara masjid sepatutnya dibolehkan untuk laungan azan dan iqamah sahaja.
Hal ini jika kariah bebas menggunakan pembesar suara untuk aktiviti masjid yang lain, dikhuatiri akan mengganggu komuniti setempat, lapor Sinar Harian.
Katanya, walaupun Pulau Pinang tidak mewartakan perkara tersebut, namun dinasihatkan kariah masjid atau surau menggunakan pembesar suara luar hanya untuk laungan azan dan iqamah kerana itu sebagai lambang Islam.
“Kita nak beribadat buat apa kita ganggu orang, dia tidak datang ke masjid kerana tidak bersedia untuk dengar tazkirah, ceramah dan sebagainya. Kalau dia nak datang ke masjid kita benar dia guna pembesar suara dalam,” jelasnya.
Tambahnya, isu berkenaan sepatutnya tidak dibangkitkan walaupun penggunaan pembesar suara dibenarkan untuk aktiviti mengaji dan ceramah suatu ketika dahulu.
“Suasana berubah, fatwa juga berubah”
Suasana pada masa kini dan dahulu juga sudah berbeza. Ada sahaja aduan diterima daripada penduduk berdekatan dengan masjid atau surau.
“Jadi kita tidak boleh ikut semangat kita sahaja, kena ambil kira suasana yang sekarang. Berbeza di kampung dulu antara masjid dengan rumah jauh-jauh. Jadi sebelum subuh nak baca al-Quran dan sebagainya untuk guna pembesar suara luar tidak jadi masalah.
“Tapi sekarang di bandar, kawasan perumahan begitu hampir dengan masjid jadi kena fahamlah. Jika keadaan dan situasi berubah, fatwa juga boleh berubah,” katanya lagi.
Seperti di Selangor, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) telah mengeluarkan arahan kepada Pentadbir Masjid dan Surau seluruh negeri mengenai isu tersebut sejak Oktober 2017.
Baca: Taliban Pasang 400 Pembesar Suara Untuk Galak Penduduk Solat Berjemaah Di Afghanistan