Awal bulan ini, peminat Bollywood dikejutkan dengan berita penahanan anak kepada bintang terkenal, Shah Rukh Khan. Aryan Khan, ditahan dalam keadaan penuh kontroversi bersama beberapa lagi rakannya oleh Biro Kawalan Narkotik (NCB) di Mumbai dan telah dimasukkan ke dalam penjara.
Pada Khamis lalu, keputusan Aryan Khan dibebaskan dengan ikat jamin diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Bombany atas tuduhan melibatkan dadah.
Menurut laporan Sinar Harian, kesesakan trafik luar biasa dilaporkan berlaku sekitar Penjara Arthur Road di Mumbai, India. Shah Rukh Khan dan isteri, Gauri Khan juga dilaporkan berkunjung ke penjara itu bagi meyambut pembebasan Aryan Khan.
Selama 26 hari ditahan, Aryan Khan ditempatkan di Penjara Arthur Road selepas pihak berkuasa bertegas mendakwa terdapat bukti bahawa anak bintang terkenal Bollywood itu terlibat dalam kes penyalahgunaan dadah bersama rakan-rakannya di atas sebuah kapal persiaran di pantai Mumbai pada 3 Oktober lalu.
Selepas 26 hari ditahan, berita pembebasan Aryan Khan dengan ikat jamin itu disambut Shah Rukh Khan dengan air mata kegembiraan.
Shah Rukh Khan juga menghiasi rumahnya dengan dekorasi cahaya bagi menyambut kepulangan anak sulungnya itu.
Sumber: Sinar Harian