Gara-gara pentingkan diri sendiri, tindakan seorang pemandu memberhentikan kereta di tengah laluan sehingga menyebabkan kesesakan jalan mengundang pelbagai reaksi di laman sosial.
Seorang pelawak terkenal, Harith Iskander baru-baru ini memuat naik satu rakaman video di Twitter yang memaparkan sebuah kereta Perodua Bezza berada di tengah-tengah laluan mengambil penumpang di balai ketibaan KLIA.
Beliau menulis ciapan meluahkan rasa geram dengan sikap pemandu kereta itu yang pentingkan diri dengan membiarkan keretanya di tengah laluan sehingga menjadi punca kesesakan.
Lebih teruk lagi, pemandu Bezza itu selamba berdiri di seberang jalan untuk menghisap rokok sambil memerhatikan kesesakan disebabkan keretanya.
“Anugerah ‘anda tahu anda berada di Malaysia’ diberikan kepada pemilik Perodua Bezza ini yang secara santai meletakkan keretanya di tengah laluan ambil penumpang di balai ketibaan KLIA,” luahnya.
Tindakan pemandu Bezza itu telah mengundang kecaman orang ramai kerana bukan sahaja menyusahkan pengguna lain, malah merokok di kawasan larangan.
Ada juga yang berasa pelik tiada polis bantuan ketika kejadian berlaku sedangkan laluan di situ sentiasa sesak dengan kenderaan yang datang membawa dan menurunkan penumpang.
Dalam pada itu, netizen meminta pihak berkuasa mengambil tindakan tegas kerana jika dibiarkan, akan ada lebih ramai individu tidak bertanggungjawab meniru perbuatan tersebut.
Sementara itu, pihak Malaysia Airports telah mengambil maklum mengenai kejadian yang berlaku dan memanjangkannya kepada pihak polis yang bertugas di KLIA.
Baca: Viral Makcik Jual Makanan Di Airport Buat Ramai Sebak, Rupanya Ada Plot Twist?