Berita kehilangan seorang wanita bernama Nur Farah Kartini Abdullah di Tanjung Malim berakhir dengan penemuan menyayat hati apabila jasadnya ditemukan tidak bernyawa di Felda Gedangsa, Hulu Selangor.
Menurut laporan polis, Farah yang berusia 25 tahun itu ditemui kira-kira jam 6 petang semalam dan dipercayai dibunuh oleh individu dikenalinya, seorang penjawat awam.
Artikel berkaitan: Kes Pembunuhan Nur Farah Kartini: Penjawat Awam Yang Ditahan Tiba Di Mahkamah
“Kita kehilangan seorang bakal guru…”
Mengetahui berita pembunuhan ini, ramai yang begitu sebak kerana Nur Farah Kartini diketahui merupakan pelajar pintar graduan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan Purata Gred Nilai (GPA) 4.0.
Menerusi perkongsian lama Nur Farah Kartini di Facebooknya pada 30 Ogos 2023, dia yang memperoleh Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Multimedia) dengan Kepujian turut merakamkan pengorbanan selama empat tahun kepada ibunya.
“Bermulanya bab baharu. Alhamdulillah perjuangan empat tahun dah tamat. Banyak cabaran sepanjang tempoh pengajian ni, tapi alhamdulillah masih dikuatkan jiwa dan raga untuk bertahan.
“Terima kasih juga untuk sahabat yang selalu ada disaat susah dan senang. ‘struggle’ nak siapkan ‘assignment’, laporan.
“Lepas itu tidur berjemaah dekat ‘student lounge’ semata-mata nak siapkan kerja. Bila minit akhir semua gelabah baru nak buat sama-sama…biasa ya Jadi sekarang kita menuju jalan ke konvokesyen,” katanya pada hantaran itu.
Pada akhir hantaran itu, dia juga mendedikasikan ucapan buat ibunya yang dipanggil bonda.
“Kepada bonda tersayang, anak bonda dah besar,” katanya.
Rata-rata netizen yang menjengah ke hantaran lama Nur Farah Kartini meluahkan rasa sebak dan sayu dengan pengakhiran berita kehilangannya.
Moga arwah ditempatkan dalam kalangan orang beriman…
Sumber: Facebook