Seorang calon pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) meninggal dunia selepas koma sehari sebelum menduduki peperiksaan itu.
Menurut laporan China Press, pelajar terbabit mengalami pendarahan otak, menyebabkan kematian yang tidak dijangka.
Bapa mangsa, Shen Kang Xiang, berkata anaknya mengadu sakit kepala yang teruk di rumah pada malam Ahad (2 Disember) sebelum pengsan sejurus selepas itu.
Pelajar tersebut segera dibawa ke klinik berhampiran, yang mana ketika itu keadaannya stabil sebelum dipindahkan ke Hospital Batu Pahat.
Artikel berkaitan: “Ada yang tidur berbantalkan lengan sahaja” – Cikgu Mohd Fadli Kongsi Keadaan Calon SPM Di Tumpat
Artikel berkaitan: Belum Lagi Ambil SPM, Pelajar Cemerlang Di Sekolah Cina Sudah Dapat Tawaran Dari Universiti
Doktor mendapati saluran darah ke otak mangsa pecah menyebabkan remaja itu mengalami pendarahan dalaman yang teruk dan berada dalam keadaan koma.
Kesihatan mangsa semakin merosot walaupun doktor sudah melakukan usaha yang terbaik, dan disahkan meninggal dunia pada pagi semalam.
“Anak saya mengejutkan saya dan isteri pada jam 4 pagi, menangis kesakitan dan menggeliat di atas katilnya.
“Dari riak wajahnya, saya dapat melihat dia berada dalam kesakitan dan tidak mampu bercakap,” kata Kang Xiang.
Pada mulanya, Kang Xiang menyangka sakit kepala dialami anaknya itu disebabkan oleh tekanan kerana peperiksaan SPM semakin hampir. Namun, imbasan perubatan mendedahkan anaknya mengalami pendarahan otak.
Guru di sekolah memaklumkan bahawa pelajar itu kelihatan pucat pada minggu sebelum dia pengsan, walaupun dia tidak melaporkan sebarang masalah kesihatan.
Kang Xian meluahkan rasa sebak, menggambarkan anaknya sebagai seorang anak yang patuh dan berbudi pekerti selain cemerlang dalam pelajaran.
Difahamkan, anaknya baru-baru ini mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan percubaan SPM, memperoleh 10A dan 1B.
Sumber: NST