Isu membabitkan sebuah pusat pendidikan awal kanak-kanak terus mendapat perhatian ramai apabila pelbagai dakwaan baharu mula tersebar di media sosial, khususnya berkaitan aspek keselamatan dan kebajikan kanak-kanak.
Menurut maklumat yang dikongsikan beberapa individu, sebuah premis dipercayai menempatkan sekitar 150 orang pelajar dengan hanya 10 orang guru, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai nisbah pengawasan terhadap kanak-kanak, lebih-lebih lagi apabila melibatkan kanak-kanak berusia kecil.
Difahamkan, pusat berkenaan turut menawarkan Early Intervention Program (EIP) untuk kanak-kanak berkeperluan khas termasuk autisme. Namun, tular dakwaan mendakwa terdapat insiden kanak-kanak keluar tanpa kawalan sehingga berlari dan bermain di kawasan longkang berhampiran premis, sekali gus mencetuskan kebimbangan serius terhadap tahap keselamatan.
Artikel berkaitan: Kehilangan Anak Akibat Kecuaian Taska Tahun Lalu, Pasangan Ini Kini Dikurniakan Kembar 3
Artikel berkaitan: Kes Penderaan Kanak-Kanak Di Tadika, Asyraf Wajdi Tegas MARA Tidak Akan Berkompromi
View this post on Instagram
Keadaan itu menimbulkan persoalan dalam kalangan orang ramai kerana kanak-kanak autisme memerlukan pemantauan rapi dan konsisten bagi mengelakkan sebarang risiko yang tidak diingini.

Dalam masa sama, terdapat juga dakwaan bahawa ketika Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dipercayai hadir bagi menjalankan pemeriksaan, pihak pengurusan premis didakwa menyembunyikan sebahagian kanak-kanak bagi mengelakkan jumlah sebenar diketahui.
Menurut hantaran di Instagram Caprice, beberapa individu turut mendakwa mereka diugut dengan tindakan saman sekiranya merakam keadaan di dalam atau sekitar premis berkenaan, walaupun rakaman dibuat atas alasan keselamatan dan perlindungan kanak-kanak.
Setakat ini, isu berkenaan masih hangat diperkatakan dan orang ramai menggesa agar siasatan menyeluruh serta telus dijalankan oleh pihak berkuasa bagi memastikan kebajikan serta keselamatan kanak-kanak sentiasa terpelihara.
Sumber: Instagram
