Sejak tahun 2000 lagi, ramai wanita meminta cerai ketika usia menginjak senja dan trend ini dijangka meningkat setiap bulan.
Menerusi petikan portal berita Kosmo!, seorang Pakar Perunding Kaunselor Kekeluargaan dan Perkahwinan, Hushim Salleh mengatakan bahawa dalam tempoh setahun, lebih 70 pasangan suami isteri berusia 55 tahun ke atas mahu bercerai.
Kenyataan tersebut turut disokong oleh seorang peguam syarie yang dikenali sebagai Atikah Rashid, berkongsi mengenai punca-punca perceraian daripada golongan berusia.
Punca ramai isteri minta cerai bila dah berusia
Berkongsi berdasarkan pengalamannya mengendalikan kes, faktor penyebab isteri meminta cerai apabila sudah berusia kerana si isteri menunggu masa anak-anaknya membesar.
Isteri tidak mahu mengganggu emosi dan mental anaknya yang ketika kecil walaupun sedar si suami sudah lama membuat perangai seperti berlaku curang atau tidak bertanggungjawab sebagai seorang bapa dan suami. Jadinya, isteri terpaksa memendam rasa demi anak-anaknya.
Selain itu, suami minta berpoligami tanpa kebenaran atau pengetahuannya juga menjadi punca isteri mahu bercerai.
Ujar Atikah, suami mula ada keinginan untuk berpoligami setelah merasakan kewangannya stabil dan ada masa lapang selepas bersara atau sudah berusia.
“Anak-anak pun dah besar, ada juga isteri dah tak larat nak layan batin suaminya. Jadi, ada suami yang jumpa bakal isteri yang sanggup bermadu.
“Isteri pula memang tak nak berpoligami sebab sudah tua. Jadi, mohonlah cerai di mahkamah daripada serabut mengenai poligami,” katanya.
Antara sebab kenapa isteri minta cerai bila dah berusia berdasarkan pengalaman saya :
1) isteri tunggu anak-anak dah besar. Sebenarnya suami dh lama buat perangai, tak bg nafkah/curang. Tp sebab xnak ganggu emosi & mental anak yg masih kecil. Isteri sanggup memendam rasa- pic.twitter.com/d12ixMKVel
— Peguam Syarie Atikah (@Atikah10490) May 9, 2023
Menurut Atikah, ramai wanita berusia yang meminta berunding untuk bercerai. Malah, ada juga yang memohon failkan kes perceraian sebab sudah tidak tahan.
“Memang kesian kita tengok, patutnya usia begitu fokus pada ibadah tapi terpaksa naik turun mahkamah,” katanya lagi.
Ramai anak-anak yang terpalit masalah rumah tangga ibu bapa mereka turut bersetuju dengan perkongsian peguam tersebut.
Baca: Peguam Syarie Jelaskan Perkara Yang Sepatutnya Sam Patut Lakukan Kalau Tak Nak Berjauhan Dengan Anak