Pasangan pempengaruh media sosial terkenal, Alif Teega dan Aisyah Hijanah menganggap tahanan reman oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum ini sebagai satu pengalaman yang mematangkan.
Menurut Aisyah Hijanah, penangkapan tersebut juga merupakan satu pedoman bagi dirinya dan suami, Mohd. Hazalif Mohd. Hazani yang turut dikenali sebagai Alif Teega.
“Pada usia 26 tahun, kami sempat merasakan pengalaman sebegini. Mungkin sebelum ini kita ingat hidup kita selesa, tak pernah rasa (semua ini).
“Jadi kali ini, Allah SWT bagi kita satu tempoh untuk merasai. Jadi, Alhamdulillah, ini semua merupakan satu pengalaman dan juga pengajaran bagi kami semua yang mematangkan,” katanya dalam satu sesi live TikTok, baru-baru ini.
Alif & Aisyah cerita pengalaman indah sewaktu tahanan di sprm. pic.twitter.com/Vs2HNgVWB6
— ًِ (@bckupacc99) July 20, 2024
Menurut Alif, mereka telah mendapat layanan yang baik oleh pegawai SPRM.
Layanan mesra tersebut juga disifatkan oleh Alif sebagai antara pengalaman manis yang sempat mereka rasai sepanjang ditahan reman.
“Apa yang pegawai SPRM makan, itulah yang Alif makan. Kalau tengah hari tu, makan nasi ayam, Alif makan nasi ayam.
“Kalau burger, burger. Kalau mereka pesan kopi atau apa sahajalah, kita pun dapat juga. Macam itulah, apa yang mereka makan, kita dapat makan,” jelasnya.
Artikel berkaitan: “Ni kira plagiat tak?” – Banyak Guna Lirik Lagu, Ramai ‘Cringe’ Baca Novel Aisyah Hijanah & Aliff Teega
Artikel berkaitan: Guna Gambar Rakan Artis Tanpa Persetujuan Untuk Kempen Kutipan Derma, Alif Teega Buat Permohonan Maaf
Malah, Aisyah berkata, pihak SPRM juga sangat profesional dan pernah membawanya ke klinik bagi mendapatkan rawatan.
“Alhamdulillah, ini adalah perkara yang boleh kami puji, segalanya dilakukan dengan sangat profesional dan pihak SPRM menjaga kami dengan sangat baik.
“Jaga makan minum dan tidur kami dengan baik. Saya masih ingat, walaupun hanya sedikit sakit tapi mereka bawa ke klinik,” katanya.
Dalam pada itu, Alif sempat menjawab soalan daripada netizen yang mempersoalkan mengapa pasangan tersebut digari ketika ditahan SPRM.
“Kenapa kena gari haritu? Itu prosedur. Ia prosedur SPRM yang kami berdua hormat. Alhamdulillah, ini semua satu pengalaman,” jelasnya.
Terdahulu, media melaporkan, pasangan pempengaruh media sosial itu ditahan kerana disyaki terbabit dalam penyelewengan dana derma awam.
Perintah tahanan reman yang bermula pada 11 hingga 14 Julai itu dikeluarkan Hakim Majistret Irza Zulaikha Rohainuddin di Mahkamah Majistret Putrajaya.
Mereka kemudiannya diperintahkan untuk sambung reman selama tiga hari sehingga 16 julai selepas permohonan dibuat SPRM.
Menurut peguam yang mewakili pempengaruh berkenaan, Abd Rahim Ali, dua anak guamnya direman di bawah Seksyen 23 Akta SPRM.
Alif Teega dan Aisyah Hijanah kemudiannya dibebaskan dengan jaminan sebanyak RM100,000 setiap seorang.