Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendedahkan Korea Utara memperketat kawalan terhadap rakyatnya dengan melaksanakan hukuman mati secara terbuka ke atas individu yang menonton atau menyebarkan drama serta filem asing.
Laporan setebal 16 muka surat yang dikeluarkan Pejabat Hak Asasi Manusia PBB pada Jumaat lalu menggambarkan negara itu sebagai sebuah rejim totalitarian yang semakin menutup ruang rakyatnya daripada dunia luar di bawah pemerintahan Kim Jong Un.
Dokumen berkenaan berdasarkan keterangan 314 saksi dan mangsa yang melarikan diri dari Korea Utara sejak 2014.
“Tiada populasi lain di dunia ketika ini yang berdepan sekatan sebegini,” menurut laporan itu.
PBB turut memaklumkan bahawa undang-undang baharu negara itu memperluas kesalahan yang boleh dikenakan hukuman mati, terutama membabitkan tontonan dan pengedaran kandungan luar termasuk drama Korea Selatan.
Artikel berkaitan: Korea Utara Jatuhkan Hukuman M*ti Dekat Pegawai Kerajaan Sebab Gagal Cegah Banjir
Artikel berkaitan: Penyampai Buat Silap, Perkenalkan Korea Selatan Dengan Nama Rasmi Korea Utara Ketika Acara Pembukaan Olimpik Paris 2024

Sejak 2018, perbicaraan dan hukuman mati dilaksanakan secara terbuka, dengan tindakan diperketat lagi selepas 2020, dipercayai bertujuan menimbulkan rasa takut serta menghalang sebarang bentuk bantahan rakyat.
Selain itu, pihak berkuasa dilaporkan kerap melakukan pemeriksaan ke atas komputer, radio dan televisyen serta menggeledah rumah tanpa waran atas alasan memerangi tingkah laku ‘anti-sosialis’ dan menjaga keselamatan negara.
Seorang pelarian memberitahu, langkah itu bertujuan “menutup mata dan telinga rakyat” supaya tiada ruang untuk melahirkan rasa tidak puas hati atau aduan.
Di negara komunis itu, semua saluran media berada di bawah kawalan ketat kerajaan, manakala akses internet hampir mustahil.
Sebaliknya, kerajaan hanya mengendalikan sistem intranet tertutup untuk kegunaan pegawai serta institusi penyelidikan.
Laporan PBB itu juga mendedahkan undang-undang terbaharu melarang penggunaan bahasa yang bercanggah dengan ideologi sosialis selain menyekat capaian kepada maklumat asing.
Hukuman berat, termasuk hukuman mati, diperuntukkan di bawah undang-undang berkenaan sekali gus menimbulkan kebimbangan serius terhadap kebebasan bersuara dan hak asasi manusia.
Sumber: Sinar Harian