in

Patah Tulang Pinggul Gara-gara Kerusi Ditarik Rakan, Keluarga Terkilan Guru Anggap Kejadian Timpa Murid Sebagai Takdir

murid patah tulang pinggul jatuh kerusi

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Kakak kepada seorang murid yang mengalami tulang pinggul patah akibat terjatuh selepas rakannya mengalihkan kerusi dalam kelas, meluahkan rasa terkilan dengan sikap acuh tidak acuh seorang guru.

Menurut Shahirah Shah, kejadian yang menimpanya adiknya yang juga pelajar tingkatan satu berlaku pada 17 November lalu di sebuah sekolah di Batu Pahat, Johor.


Boleh menyebabkan lumpuh

Selepas tamat waktu persekolahan, adiknya mengadu mengalami sakit punggung kepada ibu dan menceritakan kejadian terbabit.

Kemudian, ibunya membawa adik ke hospital dan selepas menjalani imbasan X-ray, doktor memaklumkan kecederaan adiknya amat bahaya sehingga boleh menyebabkan lumpuh atau masalah kesihatan pada masa hadapan dan mengesahkan tulang pinggulnya patah.

Artikel berkaitan: Angkara Kawan Bergurau Tarik Kerusi, Ibu Kecewa Anak Istimewa Patah Tulang Belakang

Namun, apa yang membuatkan mereka terkilan ketika memaklumkan kecederaan dialami murid itu di sekolah, seorang guru menyatakan kejadian berkenaan tidak disengajakan dan meminta mereka sekeluarga menganggapnya sebagai takdir.

Screenshot 2024 12 05 113058

Guru perlekeh laporan perubatan

Shahirah berkata, pihaknya difahamkan pengetua sekolah tidak dimaklumkan berkaitan kejadian itu dengan segera ia menggambarkan sikap acuh tidak acuh guru terbabit.

Menurutnya, keluarganya juga keliru dengan kenyataan seorang guru yang mendakwa menjadi saksi kejadian sebaliknya adiknya menyatakan guru berkenaan tidak berada dalam kelas ketika itu.

Katanya, mereka juga tidak menerima maklum balas yang diharapkan daripada guru terbabit berkaitan rayuan keluarganya untuk memindahkan kelas adiknya di tingkat bawah mulai tahun depan atas faktor kesihatan.

“Guru berkenaan memperlekehkan laporan perubatan adik saya dengan menyatakan anaknya juga seorang doktor dan apa yang dialami adik adalah tidak serius.

“Tambahan pula kami keliru apabila adik saya seperti diboikot apabila tiba-tiba disingkir daripada kumpulan WhatsApp kelas.

“Adik saya jenis pelajar yang tidak bermasalah, sehingga kini dia juga tidak pernah menimbulkan masalah disiplin.

“Kejadian seumpama ini tidak seharusnya dipandang remeh kerana ia boleh menimbulkan masalah lebih serius,” katanya.

Menurutnya, buat masa ini pergerakan adiknya masih terbatas dan tidak mampu tunduk dan duduk seperti biasa.

Difahamkan, ibu bapa mangsa sudah membuat laporan polis pada 19 November lalu dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Johor sedang menjalankan siasatan berkaitan kejadian tersebut.

Sumber: Harian Metro

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.