Sebuah tandas di pusat pelancongan terkenal di China baru-baru ini menjadi perhatian warganet negara itu apabila pihak pengurusan telah memasang pemasa atau timer di dalam tandas wanita berkenaan.
Difahamkan, pemasangan pemasa itu bertujuan agar pengunjung wanita tak perlu beratur lama untuk masuk ke tandas. Mungkin sebab orang perempuan selalu dalam tandas lama kot…
Memetik laporan South China Morning Post, pusat pelancongan tersebut sememangnya popular dan menerima ramai pelancong setiap hari kerana ramai yang datang untuk melihat pelbagai arca batu dalam gaya Barat, Eropah dan Asia Tengah.
Jumlah pengunjung di pusat pelancongan itu semakin bertambah dan ramai yang terpaksa menunggu lama sebelum boleh masuk ke dalam tandas.
Pemasa itu difahamkan dipasang pada setiap pintu dalam tandas tersebut untuk mengatasi masalah tersebut.
Artikel Berkaitan: “Like a honey from China” – Netizen Terhibur Zayn Malik Kongsi Minum ‘Madu’, Tapi Rupanya..
Artikel Berkaitan: “Macam-macam perisa pelik”- Lepas Kopi Cili, Kopi Daun Bawang Pula Jadi ‘Trending’ Di China
Lampu pada pemasa itu akan bertukar merah apabila ada individu yang masuk dan akan mula mengira detik masa seseorang itu berada di dalam tandas berkenaan.
Apabila tandas itu kosong, pemasa itu akan bertukar kepada warna hijau.
Ada pengunjung yang berpendapat mereka seperti sedang diawasi setelah pemasa itu dipasang di dalam tandas tersebut.
Namun, dalam masa yang sama, ada juga yang bersetuju dengan tindakan itu kerana boleh mengelakkan kejadian bahaya seperti warga emas jatuh di dalam tandas dan tidak boleh meminta pertolongan.
Walau bagaimanapun, difahamkan, pemasa itu tidak menetapkan had masa untuk menggunakan tandas sebaliknya ia hanya menjadi penanda sama ada tandas itu sedang digunakan oleh seseorang ataupun tidak.
Ada juga netizen di sana yang berpendapat sepatutnya lebih banyak tandas dibina untuk menyelesaikan masalah beratur lama ini.
Sumber: South China Morning Post