Jaguh Lontar Peluru negara Muhammad Ziyad Zolkefli telah selamat tiba di tanah air dari Sukan Paralimpik Tokyo 2020. Umum sedia maklum kemenangan Ziyad dalam acara itu tidak diiktiraf selepas beliau telah terlewat untuk hadir di call room sebelum acaranya bermula.
Ziyad yang mencatat rekod dunia dengan lontaran sejauh 17.94 meter terpaksa akur selepas pasukan Ukraine membantah kemenangannya sekaligus merampas pingat emas milik Ziyad.
Tampil berhadapan media, Ziyad akur dengan keputusan oleh pihak penganjur dan minta rakyat Malaysia hentikan kecaman kepada atlet Ukraine yang memenangi pingat emas dalam acara lontar peluru itu. Video temubual Ziyad bersama pihak media yang dimuatnaik @BuletinTV3 boleh dilihat dibawah.
PARALIMPIK TOKYO | Hentikan Kecaman Terhadap Atlet Ukraine
Jaguh lontar peluru para negara, Muhammad Ziyad Zolkefli meminta rakyat Malaysia menghentikan kecaman terhadap atlet Ukraine berhubung kontroversi penarikan pingat emas yang dimenangi beliau. pic.twitter.com/LCW552A9Sg
— Buletin TV3 (@BuletinTV3) September 3, 2021
Untuk rekod, Ziyad bertanding dalam acara lontar peluru dalam kategori F20 di Paralimpik Tokyo 2020. Beliau telah mencatatkan rekod dunia dalam penentuan pingat emas dan berada di kedudukan pertama.
Namun, atas sebab-sebab teknikal, kemenangan Ziyad ditarik selepas wujudnya protes dari pasukan yang turut bertanding. Protes tersebut walaubagaimanapun tidak terhad kepada Ziyad seorang diri, ianya melibatkan juga atlet dari Australia dan Ecuador yang turut lewat untuk berada di call room sebelum acara bermula.
Ziyad akur dengan keputusan pihak penganjur dan redha pulang tanpa pingat untuk edisi Paralimpik kali ini. Pada edisi Paralimpik Rio 2016, Ziyad telah mengharumkan nama negara dengan membawa pulang pingat emas untuk Malaysia dalam acara yang sama.