Panglima Tentera Udara (PTU) ke-21, Jeneral Dato’ Sri Haji Muhamad Norazlan bin Aris TUDM, telah menyempurnakan Majlis Penyampaian Perintah Ulung beliau di Auditorium Air Warfare Centre, Markas Pemerintahan Operasi Udara, Pangkalan Udara Subang, Selangor. Perintah Ulung ini bertujuan untuk memberi panduan dan rujukan kepada seluruh warga TUDM mengenai hala tuju pasukan di bawah kepimpinan beliau.
Majlis tersebut dihadiri oleh 265 warga TUDM dan disiarkan secara langsung ke seluruh markas, pangkalan, serta unit naungan TUDM di seluruh Malaysia melalui persidangan video, memastikan setiap warga dapat memahami dan menghayati perintah ini.
Dalam ucapannya, Jeneral Dato’ Sri Haji Muhamad Norazlan berjanji untuk melaksanakan tanggungjawabnya dengan adil, amanah, dan berjiwa rakyat. Beliau juga bertekad untuk meneruskan kecemerlangan TUDM yang telah dirintis oleh para panglima terdahulu, demi menjadikan TUDM sebuah angkatan yang kredibel dan berupaya sebagai perisai kedaulatan negara.
Kepimpinan beliau akan beraspirasikan dua tokoh besar dalam sejarah Islam, Saidina Umar Al-Khattab R.A. dan Saidina Umar Abdul Aziz R.A. Ciri-ciri ketegasan, keberanian, keadilan, dan kebijaksanaan yang ada pada kedua-dua tokoh ini akan diterapkan dan dipraktikkan kepada warga TUDM.
Selaras dengan persekitaran geostrategik yang dinamik dan perkembangan teknologi semasa, keupayaan kuasa udara perlu dievolusikan sejajar dengan dasar dan Strategi Ketenteraan Negara.
Tambahnya lagi, corak ancaman keselamatan serantau dan global tidak lagi sama seperti dekad-dekad lalu, dengan konsep pertahanan kini berorientasikan kepentingan keselamatan dan kedaulatan demi kemakmuran negara. Sebagai satu-satunya ketumbukan kuasa udara Angkatan Tentera Malaysia, TUDM perlu terus memperkukuhkan kedudukannya sebagai pasukan udara yang tangkas dan tegas dalam melindungi kedaulatan serta keutuhan ruang angkasa dan seluruh wilayah negara.

Perintah Ulung Panglima Tentera Udara Ke-21 ini berteraskan enam tonggak utama untuk mendepani cabaran masa hadapan dan menentukan legasi kegemilangan TUDM. Keenam-enam tonggak utama tersebut adalah:
- Mencapai Keupayaan dan Kesiagaan Tertinggi: Meningkatkan dan melestarikan TUDM sebagai kuasa udara yang unggul serta memastikan TUDM mampu menjadi daya tindak pertama ATM dalam strategi cegah rintang bersepadu.
- Kemampanan Aset Pertahanan Udara: Terutama dalam pengurusan dan pemeliharaan aset secara strategik bagi memastikan kelangsungan operasi udara.
- Memperkukuhkan Kecemerlangan Warga: Melalui warga udara yang kompeten, berketrampilan, serta menjiwai nilai-nilai teras TUDM.
- Meningkatkan Dokongan Logistik: Bagi menjamin ketahanan dan kelangsungan operasi melalui warga yang cemerlang dalam pengurusan logistik.
- Memperkasakan Doktrin dan Prosedur: Bagi menentukan keseragaman tindakan dan penyatuan hala tuju dalam pelaksanaan strategi domain udara.
- Melestarikan Warga Udara: Meliputi pemeliharaan diri, moral, sukan, dan kebajikan bagi kecemerlangan organisasi.

Beliau menaruh kepercayaan tinggi kepada semua pucuk pimpinan dan warga TUDM untuk bersama-sama beliau memastikan TUDM menjadi sebuah angkatan udara yang efektif dan kredibel berlandaskan peranan dan fungsi yang telah ditetapkan. Perintah Ulung ini bukan sahaja memberi tumpuan kepada tonggak baharu yang digariskan, malah akan meneruskan kesinambungan pelan strategik TUDM, ATM, dan Kementerian Pertahanan seperti CAP55, Rangka Strategi Ketenteraan Negara, serta Kertas Putih Pertahanan yang telah menetapkan tanda aras bagi TUDM dalam aspek pembangunan keupayaan.
Turut hadir pada majlis tersebut adalah Timbalan Panglima Tentera Udara, Leftenan Jeneral Dato’ Nur Hafis bin Abdul Karim TUDM; Panglima Operasi Udara, Leftenan Jeneral Dato’ Masro bin Kaliwon TUDM; Panglima Pendidikan dan Latihan Udara, Leftenan Jeneral Dato’ Muhammad Tarminzi bin Haji Mustapha TUDM; dan Panglima Bantuan Udara, Mejar Jeneral Dato’ Ahmad Khusairi bin Ahmad Fadli TUDM.