Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan diarahkan mengambil cuti serta-merta sementara siasatan pihak berkuasa berhubung dakwaan tertentu terhadap beliau dijalankan.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, keputusan itu dibuat sebagai langkah pentadbiran bagi memberi ruang kepada siasatan berjalan lancar tanpa sebarang gangguan atau konflik kepentingan.
Terdahulu, seorang aktivis dikenali sebagai Chegubard mendakwa seorang pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia disyaki terlibat dalam kegiatan pengubahan wang haram.
Susulan dakwaan itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan pembukaan kertas siasatan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 dengan fokus terhadap proses perolehan projek Tentera Darat.

Artikel berkaitan: SPRM Siasat Taikun Singapura, Ada Kaitan Dengan Skandal Rasuah Sabah?
Artikel berkaitan: Pasport Terbang, SPRM Tahan 4 Penguatkuasa Yang Terima Rasuah
Siasatan awal mendapati sepanjang tempoh 2023 hingga 2025, sebanyak 158 projek bernilai lebih RM500,000 dilaksanakan, manakala ribuan lagi projek bernilai lebih rendah turut direkodkan.
Pemerhatian awal juga mendapati beberapa syarikat dipercayai berulang kali memperoleh projek bernilai tinggi.
Setakat 24 Disember lalu, SPRM telah merakam keterangan tiga individu bagi membantu siasatan yang sedang dijalankan.
Sumber: Harian Metro
