Rakyat Filipina masih terkejut dan marah dengan kejadian tembak mati dua beranak oleh seorang anggota polis yang juga merupakan jiran mereka. Pada mulanya pergaduhan tercetus di antara polis bernama Jonel Nuezca yang naik angin dengan Sonya dan anak lelakinya Frank, selepas mereka dikatakan menyalakan meriam buluh.
Rakyat harap keadilan untuk Sonya & Frank
Kejadian itu dirakam oleh ahli keluarga yang berada di situ di mana anak perempuan Nuezca juga turut berada di lokasi dan ketika keadaan menjadi tegang, anaknya sempat menengking Sonya dan berkata,
Diam! Bapa saya adalah anggota polis!”
Sonya kemudian menjawab dengan menyanyi lagu kumpulan Kpop 2NE1 “I Don’t Care’ dan membuatkan Nuezca bengang lalu mengambil pistol dan menembak mereka berdua dari jarak dekat di bahagian kepala.
Dia kemudian pulang ke rumah bersama anaknya itu seperti tiada apa yang berlaku namun menyerah diri kepada pihak polis selepas lebih kurang satu jam kejadian berlaku. Video ketika kejadian viral di media sosial dan sehingga kini rakyat Filipina masih marah dan berharap keadilan dapat ditegakkan buat dua beranak itu.
Rupanya penagih, pernah kena gantung tugas
Tindakan (menembak) sebegitu, saya pasti dadah telah mempengaruhi otak dan fikiran dia (Nuezca). Dadah yang diambilnya dah pengaruh cara dia membuat keputusan.”
Itulah respon Dela Rosa, bekas Ketua Polis Filipina yang mendedahkan bahawa Nuezca sebenarnya seorang penagih dadah dan pernah mengelak daripada menjalani ujian dadah yang diwajibkan bagi setiap anggota polis pada Disember 2015. Menurut Coconuts, akibat daripada tindakan itu, dia telah digantung tugas daripada pasukan polis selama sebulan.
Dela Rosa memberi respon sebegitu ketika ditemu bual dan ditanya tentang kes Nuezca yang mengejutkan seluruh negara Filipina. Katanya lagi,
Cuba lihat latar belakang Nuezca; Dia pernah didakwa mengelak daripada menjalani ujian dadah, bermaksud dia memang penagih. Mengapa anda cuba elak? Mengapa anda elak ujian dadah jika anda bukan penagih?”
Bagaimanapun, difahamkan ketika menyerah diri selepas menembak mati dua beranak itu, keputusan ujian dadah menunjukkan Nuezca negatif.
Layak terima hukuman mati
Menurut Dela Rosa lagi, apa yang dilakukan Nuezca terhadap jirannya itu sangat kejam dan dia memang selayaknya dikenakan hukuman mati. Malah menurutnya, provokasi yang ditunjukkan terhadap kes itu tidak cukup dan pada pendapatnya apa yang dilakukan Nuezca memang melampau.
Saya rasa provokasi dari pihak mangsa tidak cukup (dahsyat). (Apa yang dilakukan) Ianya sangat melampau.”
Menurut laporan, Nuezca pernah dikaitkan dengan dua kes pembunuhan sebelum ini, membuktikan dia mempunyai sejarah buruk dan gagal menjalankan tugasnya sebagai penjawat awam dengan baik.
Baca: “Bapak aku polis!” – Ini Kisah Sebenar Kes Viral, Polis Tembak Ibu & Anak Sampai Mati Di Filipina