Bagai jatuh ditimpa tangga!
Susulan daripada pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran (TEMCO) di Napoh, penduduk sekitar kawasan tersebut terutama yang berpendapatan rendah berharap kerajaan menghulurkan bantuan oleh kerana mereka tidak dapat keluar bekerja.
Menurut Berita Harian, tinjauan di pekan tersebut mendapati rata-rata penduduk di situ hanya bekerja sebagai penoreh dan petani terpaksa akur dengan arahan TEMCO untuk duduk di rumah selain dikuarantin dan dipakaikan gelang merah jambu.

Luahan penduduk bernama Bunga Ali, 56, juga berkata, dia berharap bantuan makanan asas dapat diberikan lepas hanya berharap dengan gaji suami sebanyak RM1,200 sebulan sahaja.
“Kami sekeluarga sudah dipakaikan gelang merah jambu, suami hanya menjadi tukang kebun di kilang dan gajinya diguna menanggung dua anak yang masih bersekolah sebelum berlaku wabak COVID-19.
“Suami pula antara kontak rapat kerana pernah singgah membeli makanan di restoran nasi kandar di Napoh. Kami ada membeli bekalan makanan untuk keluarga tetapi tidak pasti sama ada ia cukup selama dua minggu atau tidak,” katanya.

Manakala seorang lagi penduduk, Azlina Ibrahim, 45, berkata suaminya yang bekerja sebagai penoreh dan mengusahakan sawah itu hanya bertahan dengan pendapatan RM800 sebulan.
“Jika perintah TEMCO ini disambung lagi selepas ini, ia akan memberi kesan besar buat keluarga saya,” katanya.
Tak cukup dengan itu, bekalan roti di kedai runcit sekitar Napoh juga katanya kehabisan stok sejak 2 hari lepas lagi.
“Sudah beberapa hari pembekal tidak hantar roti apabila ada antara pemandu lori turut dikuarantin sedangkan permintaan terhadap roti semakin meningkat kerana ramai penduduk tidak dapat keluar ke mana-mana,” kata peniaga, Sri Thran Nadaraja.

Walau bagaimanapun, bekalan makanan lain di kedainya masih mencukupi kerana penduduk tidak membeli secara panik dan hanya ketua keluarga saja dibenarkan untuk keluar membeli makanan.
Apa-apapun marilah kita doakan semoga mereka baik-baik saja di sana. Siapa yang dekat dan berkemampuan tu bolehlah hulurkan bantuan dekat orang sana. #KitaJagaKita
Baca: Kluster Sivagangga: Lepas Budak Sekolah, Kini Dua Anak Kecil Umur 2 Tahun Pula Dijangkiti Covid-19

