Tiga buah rumah musnah dalam satu kejadian kebakaran dipercayai berpunca daripada perbuatan khianat melibatkan aktiviti Ah Long, awal pagi Selasa.
Insiden yang berlaku sekitar jam 4.30 pagi itu menyebabkan lima buah kereta dan empat motosikal turut rentung, apabila letupan besar berlaku di sebuah rumah di Lorong Tasek Gelugor, dipercayai berpunca daripada bahan letupan yang dilempar masuk.
Salah seorang mangsa, Mohamad Asrul yang memaklumkan mengenai insiden itu di laman Facebooknya berkata, mereka sekeluarga terselamat selepas dikejutkan oleh jiran-jiran yang membunyikan hon dan menggoyangkan pagar rumah.
Artikel berkaitan: Bapa Terkilan Anak & Menantu ‘Lesap’, Terpaksa Tanggung Hutang Ah Long RM 200K
Artikel berkaitan: Simbah Cat Dekat Salah Rumah, Ah Long Suruh Penghutang Asal Bayar Ganti Rugi
Berkongsi kronologi kejadian, seminggu sebelum insiden kebakaran berlaku, dia dan jirannya menerima ugutan daripada Ah Long terbabit apabila kediaman mereka disimbah cat dan petrol.
“Beberapa hari sebelum kejadian, rumah kami dan rumah jiran di nombor tiga sudah disimbah petrol dan cat. Di rumah nombor tiga turut ditinggalkan nota berbaur ugutan serta sebotol petrol.
“Kami segera membuat laporan polis di Balai Tasek Gelugor dan kemudiannya dirujuk ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kepala Batas,” katanya.
Jelasnya, hasil siasatan awal mendapati ugutan itu sepatutnya ditujukan kepada penghuni rumah nombor 42 berdasarkan nama dan nombor kad pengenalan peminjam yang tertera dalam nota ancaman tersebut.
Bagaimanapun, selepas laporan dibuat pada 16 Jun lalu, tiada sebarang tindakan susulan segera diambil dan pihak mangsa hanya diminta pulang menunggu kehadiran polis untuk mengambil bahan bukti yang akhirnya tidak muncul.
Pada 24 Jun, penduduk dikejutkan dengan bunyi letupan yang dipercayai berpunca daripada bahan letupan yang dilempar ke dalam rumah nombor tiga. Letupan itu menyebabkan api marak dengan pantas dan merebak ke rumah berhampiran.
“Orang lain pinjam Ah Long, tapi kami yang tak terlibat jadi mangsa kebakaran,” luahnya.
Tiada kecederaan serius dilaporkan, namun kerugian dianggarkan ratusan ribu ringgit. Mangsa dan keluarga kini mengharapkan keadilan ditegakkan agar insiden tragis ini tidak berulang kepada orang lain yang tidak bersalah.