Jangkitan COVID-19 kembali meningkat melibatkan pengesanan beberapa kluster baharu di Sabah.
Situasi ketika ini begitu membimbangkan orang ramai, terutama ketika Sabah sedang berdepan pemilihan dalam Pilihan Raya Negeri yang baru saja tamat semalam. Beberapa pemimpin juga dilapor positif jangkitan tersebut, ketika turun berkempen bertemu rakyat setempat.
Bimbang dengan kemungkinan penularan lebih besar di Semenanjung, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) semalam memaklumkan — mana-mana individu yang pulang dari Sabah perlu menjalani ujian saringan di pintu masuk antarabangsa selain dipakaikan gelang kuarantin berkuatkuasa hari ini.
KKM turut memaklumkan perkara itu menerusi laman Twitter rasminya, dan ia menerima pelbagai reaksi.
Ada seorang daripada pengguna media sosial menyuarakan pandangannya bahawa KKM lambat bertindak, yang kemudiannya dibalas secara sinis oleh pengendali akaun Twitter KKM sendiri.
Tindakan admin akaun tersebut menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan pengguna Twitter lain, yang menyifatkan ia sebagai tidak profesional dan terlalu mengikut emosi.
Malah, pengguna Twitter turut cuba menjelaskan bahawa kritikan itu bukan bermaksud mereka tidak menghargai pengorbanan frontliners — namun ia sebaliknya ditujukan kepada decision makers.
Mereka mempersoalkan, mengapa tindakan seumpama itu tidak dilaksanakan lebih awal sebelum berlakunya pergerakan keluar masuk yang banyak di negeri Sabah terutama ketika musim pilihan raya.
Untuk rekod, mengikut data yang dikeluarkan semalam — terdapat 82 kes baharu yang direkodkan dalam negara dengan Sabah kekal pada kedudukan tertinggi.