Sejak semalam viral sebuah video rakaman yang dipetik dari Buletin TV3 menunjukkan keadaan di Stadium Malawati. Ramai pesakit Covid-19 dilihat beratur sambil duduk dan ada yang berdiri, menunggu giliran untuk mendaftar masuk.
Menurut laporan, lebih 4,000 pesakit telah hadir untuk lapor diri semalam di Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) Stadium Malawati. Kanak-kanak dan bayi turut beratur bersama ibu bapa masing-masing, terpaksa berpanas sejak jam 11 pagi untuk melakukan penilaian kesihatan.
Apa yang mendapat perhatian adalah situasi di mana dua orang petugas barisan hadapan dilihat berlari dengan full PPE sambil mengusung katil membawa salah seorang pesakit yang pengsan.
Seorang pesakit di bawa masuk oleh petugas kesihatn selepas pengsan sebelum mendapat penilaian COVID19 di #stadiummalawati sebentar tadi. @BuletinTV3 pic.twitter.com/eLH6yAKoaE
— Norfazilah Mohd Sahir (Fazy Sahir) (@FazyNewsMPB) July 12, 2021
Dalam keadaan penularan Covid-19 yang berlaku di Malaysia sekarang, sudah tentunya rakaman menunjukkan frontliner kita bertungkus lumus sebegitu mengundang sebak ramai orang. Namun dalam kesedihan dan simpati yang mereka rasai, rakyat turut berasa marah apabila keadaan sebegini berlaku.
Melalui Twitter, ramai netizen meluahkan rasa bengang mereka terhadap pihak atasan atau menteri yang bertanggungjawab yang menurut mereka masih ‘menutup mata’ dan tidak mempedulikan apa yang berlaku kepada para frontliners.
Kata mereka, frontliner bersusah payah hingga terlalu penat dan burn out tetapi sebaliknya pihak atasan tidak melalui kepayahan sebegitu dan tidak melakukan sehabis baik dalam menangani penularan Covid-19 di negara kita.
Seorang netizen yang berada di CAC tersebut turut menceritakan pengalamannya menunggu selama berjam-jam untuk melaporkan diri. Katanya,
Saya ada di tempat kejadian dan masih berada disini. Sudah 7 jam masih belum selesai. Ramai sungguh harini yang pakai gelang. Setakat tengahari sahaja dah 4000 lebih orang datang.”
Selain itu ada beberapa netizen yang turut menyuarakan pendapat mereka tentang CAC di kawasan lain misalnya, CAC di Taman Sri Andalas, Klang kerana berdekatan dengan kawasan perumahan.