Satu kisah menyayat hati dari negara jiran Indonesia yang tular di media sosial ini menjadi peringatan besar buat orang ramai agar tidak memandang remeh masalah jerawat, terutamanya di bahagian hidung atau ‘t-zone’.
Menurut seorang wanita, segalanya bermula apabila dia secara bergurau memicit jerawat suaminya yang tumbuh di bahagian hidung. Ketika itu, mereka langsung tidak menyangka tindakan yang dianggap remeh itu rupa-rupanya membawa padah.
Suaminya yang bekerja keras di perantauan dan hanya pulang setiap tiga bulan sekali, mengadu jerawat di hidung tidak hilang-hilang. Disebabkan suasana santai dan bergurau, wanita itu memicit jerawat berkenaan kerana menyangka ia sudah matang dan akan cepat sembuh.
Artikel berkaitan: “Naik satu jerawat pun dah memekak” – Kak KM ‘Buka Mulut’ Isu Anak Berhenti Kerja
Artikel berkaitan: Bulan Kesedaran Jerawat: Pakar Kulit Jelaskan Punca Jerawat Tak Hilang Walaupun Dah Guna Banyak Produk

Namun, keesokan harinya, suaminya mengalami demam panas dan pening kepala, keadaan menjadi semakin membimbangkan apabila bahagian hidung kelihatan bengkak. Suaminya juga mengadu sakit kepala hingga ke bahagian belakang.
“Selepas pemeriksaan lanjut, doktor memaklumkan terdapat darah yang membeku di dalam hidung dan suamiku perlu menjalani rawatan intensif sehingga seminggu.
Doktor juga menjelaskan dia perlu dibedah segera kerana pendarahan yang teruk sehingga melibatkan pembuluh darah di otak.
Apabila ditanya sama ada aku pernah melakukan apa-apa sebelum ini, aku terus terdiam kerana teringat aku pernah memicit jerawat di kawasan segitiga bahaya di wajah suamiku. Aku melakukannya secara diam-diam kerana menyangka jerawat akan cepat hilang dan menganggap perkara itu biasa,” tulisnya.
Hasil pemeriksaan doktor mendapati terdapat darah beku di bahagian dalam hidung, dipercayai berpunca daripada jangkitan yang berlaku di kawasan dikenali sebagai “segitiga kematian” iaitu kawasan sensitif di antara hidung dan bibir atas yang mempunyai saluran darah terus ke otak.
Doktor menjelaskan bahawa memicit jerawat di kawasan ini boleh menyebabkan jangkitan merebak dengan cepat ke otak dan mengakibatkan komplikasi serius.
Walaupun telah menjalani rawatan rapi dan pembedahan kecemasan, suami wanita tersebut akhirnya disahkan meninggal dunia dua hari selepas pembedahan.
Wanita itu mengakui perasaan bersalah yang amat mendalam dan berharap kisahnya menjadi pengajaran kepada semua agar tidak sewenang-wenangnya memicit jerawat, terutama di kawasan wajah yang sensitif.
Sumber: TikTok
