Neerja Bhanot merupakan seorang pramugari berpangkat senior yang bekerja untuk syarikat penerbangan Pan American World Airways apabila berlaku satu tragedi yang tak diingini pada pagi 5 September 1986.
Empat kumpulan militan bersenjata telah merampas pesawat Pan Am Flight 73 ketika ia sedang membuat hentian rutin di Pakistan.
Walaupun hanya berusia 22 tahun pada ketika itu, tindakan pantas Neerja telah menyelamatkan juruterbang dan ratusan penumpang lain dalam cubaan rampasan yang berjalan selama 17 jam dan meragut nyawa seramai 20 orang termasuk dirinya sendiri. Ini adalah kisah mengenai keberanian pramugari ini.
Artikel berkaitan: “Nyawa di hujung tanduk” – Kisah Pilot Tersangkut Di Luar Tingkap Pesawat Ketika Berada Di Ketinggian 17,000 Kaki!
Artikel berkaitan: Nahas Pesawat Terhempas Di Elmina Ulangi Tragedi 1977 Di Tempat Sama, Ini Apa Yang Berlaku…
Siapa Neerja Bhanot?
Dilahirkan pada 7 September 1963 di Chandigarh, India, Neerja Bhanot telah berpindah ke Mumbai ketika remaja dan menyambung pengajiannya di Kolej St. Xavier. Ketika di kolej tersebut, seorang jurugambar telah melihatnya di kampus dan bermulalah kerjayanya sebagai seorang model untuk kedai-kedai pakaian seperti Paville dan produk seperti Vaporex.
Dibesarkan dengan budaya tempatan, Neerja telah bersetuju untuk dikahwinkan dalam satu perkahwinan yang diaturkan oleh keluarganya. Dia telah berkahwin dengan seorang lelaki dari Emiriah Arab Bersatu pada Mac 1985 dan mendapati suaminya itu merupakan seorang kaki dera. Mengabaikan tradisi, Neerja telah menceraikan suaminya itu selepas dua bulan dan membuat keputusan untuk menjadi seorang pramugari.
Dengan gaya sofistikatednya dan rupa cantik semulajadi, Neerja Bhanot telah dipilih dari 10,000 pemohon untuk menjadi pramugari baru Pan American. Pada masa yang sama, kumpulan militan, Organisasi Abu Nidal telah bertindak ganas terhadap Israel dan sekutu-sekutunya terumanya Amerika Syarikat kerana menyokong pemenjaraan orang-orang Palestin yang memberontak.
Ketika kumpulan ini membuat perancangan untuk merampas pesawat Pan Am Flight 73 dan menukar penerbangan ke Cyprus kemudiannya Israel untuk membebaskan tahanan Palestin, Neerja Bhanot baru sahaja setahun bekerja sebagai pramugari.
Ketika pesawat ini baru sahaja hendak memulakan penerbangan ke Karachi, Pakistan, penumpang telah dikejutkan dengan bunyi kuat tembakan.
Tindakan berani Neerja Bhanot semasa Pan Am Flight 73 dirampas
Lebih kurang jam 6 pagi, empat individu telah melintasi landasan Lapangan Terbang Karachi menggunakan van dengan siren dan berpakaian seperti pengawal keselamatan kapal terbang. Ketika mereka masuk ke dalam kapal terbang, Neerja telah menjerit kod menandakan berlakunya “rampasan” sementara pramugari, Sheren Pavan telah memasukkan kod tersebut.
Tindakan ini telah membenarkan pegawai lapangan terbang untuk mengetahui apa yang berlaku serta memastikan pesawat ini kekal di darat sementara menghubungi pihak berkuasa dan memberi peluang untuk juruterbang melarikan diri.
Apabila salah seorang dari kumpulan militan ini membuka pintu kokpit, dia terkejut melihat kawasan kokpit kosong.
Pengarah Pan Am Karachi, Viraf Doroga kemudiannya muncul di landasan dan memberikan janji palsu untuk menyediakan juruterbang baru dalam masa satu jam. Tapi bila tak ada juruterbang yang tiba, perampas ini mula memilih orang barat untuk dijadikan mangsa.
Mereka telah membawa seorang penumpang Amerika berusia 29 tahun, Rajesh Kumar ke hadapan pintu pesawat dan di hadapan pihak berkuasa dan menembak lelaki ini di kepala sebelum mayatnya dicampak ke landasan. Empat jam kemudian, mereka mula meminta krew kapal untuk mengutip semua pasport penumpang.
Neerja telah bertindak berani dengan menyorokkan mana-mana pasport Amerika Syarikat dan mengarahkan rakan kerjanya yang lain untuk membuat perkara yang sama. Mendakwa tak ada penumpang Amerika di dalam pesawat ini sebelum memberikan penumpang-penumpang sandwic dan minuman untuk menenangkan mereka.
Akhirnya, selepas 17 jam, bekalan elektrik di dalam pesawat ini tiba-tiba terputus. Ini membuatkan kumpulan ini cuba untuk meletupkan tali pinggang bom yang dipakai mereka namun gagal dan menyebabkan mereka telah melepaskan tembakan rambang di dalam pesawat.
Neerja kemudiannya bergegas untuk membuka salah satu pintu kecemasan dan membantu penumpang untuk menggelongsor keluar dari pesawat, dia kemudiannya telah ditembak mati ketika cuba melindungi tiga kanak-kanak.
Mengingati tindakan berani Neerja Bhanot
Untuk pengetahuan korang, kejadian ini berlaku dua hari sebelum Neerja Bhanot menyambut hari lahirnya yang ke-23. Namun sebaliknya dia telah menjadi salah seorang dari 20 kematian yang berlaku. Manakala, 100 dari 360 penumpang telah tercedera.
Keberanian Neerja telah menjadi buah mulut ramai orang dan dia juga turut diberikan anugerah keamanan tertinggi di India. Manakala pada tahun 2004, Perkhidmatan Pos India telah mengeluarkan setem bagi mengingati wanita ini dan pada tahun 2016 sebuah filem bertajuk Neerja telah dibuat.
Tak cukup dengan itu, salah seorang dari tiga kanak-kanak yang dia lindungi pada hari tersebut kini telah pun menjadi juruterbang dan mendedikasikan kejayaannya kepada keberanian Neerja.
Sumber: ati