Bagi mereka yang mengikuti perkembangan dunia artis, umum mengetahui bahawa rumah tangga penyanyi Datuk ND Lala sedang dilanda masalah.
Pun begitu, awal pagi ini, isteri penyanyi tersebut, Datin Fauziah Sarman yang juga ibu kepada Shila Amzah memaklumkan bahawa dia sudah diceraikan suaminya.
“Menerima lafaz cerai melalui aplikasi WhatsApp”
Menurut perkongsiannya di Instagram, ND Lala atau nama sebenarnya Amir Amzah Salleh, 62, telah melafazkan cerai itu di Masjid Ar Rahman, Bangsar, Kuala Lumpur pada 2 Ogos lalu dan memaklumkan kepada dirinya melalui WhatsApp pada pagi semalam (Selasa).
Alhamdulillah dengan izinNya dan kekuatan kasih sayang Allah kepada saya, saya ingin memaklumkan kepada semua saya telah menerima lafaz cerai melalui aplikasi WhatsApp yang dikirimkan pada pagi 8 Ogos.
“Untuk perkahwinan yang terbina selama 34 tahun, lafaz cerai ini dibuat oleh bekas suami pada tarikh 2 Ogos lalu di Masjid Ar Rahman, Bangsar dan saya dimaklumkan semalam melalui WhatsApp,” katanya.
View this post on Instagram
Menurut Fauziah, dia memaklumkan mengenai hal tersebut di media sosial agar tidak timbul fitnah berkenaan status rumah tangga mereka.
Tambahnya lagi, dia reda dengan takdir yang diterima dan mohon diberikan kekuatan selepas perkahwinan yang berusia 34 tahun tersebut akhirnya terlerai.
“Alhamdulillah, Allah telah memberikan saya kekuatan yang sangat luar biasa untuk menerima ketentuan ini.
“Saya menerima segala ini dengan berlapang dada kerana saya yakin dengan doa saya, doa insan-insan yang sentiasa ada di belakang saya selama bertahun-tahun ini.
“Mungkin ini asbab untuk saya mendapat kehidupan yang lebih baik, tenang dan sempurna, insya-Allah,” katanya.
Terdahulu, pada 1 April lepas, Fauziah memuat naik foto seorang wanita di Instagram yang dipercayai sebagai individu yang menjadi punca kerosakan rumah tangganya.
Pada 3 April lalu, Fauziah juga didakwa hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat, Bandar Baru Bangi dipercayai bagi tujuan memfailkan perceraian terhadap ND Lala namun perkara itu dinafikan adik Shila iaitu Syada Amzah.
Fauziah dan ND Lala telah mendirikan rumah tangga pada 1989 dan telah dikurniakan empat cahaya mata iaitu Shila, 33, Amir Syafiq, 30, Amir Syahir, 28, dan Nur Syuhada, 25.
Baca: Hanya Dengan Sekali Lafaz, Shila Amzah Sah Bergelar Isteri Ubai