Sedang mereka memancing udang galah, sekumpulan pemancing di Teluk Intan terkejut apabila seorang penunggang motosikal melayang di udara dan tercampak masuk ke dalam Sungai Perak. Kejadian itu berlaku pada Sabtu lepas kira-kira jam 4.30 petang di Jambatan Batu 5, Teluk Intan.
Menurut Sinar Harian, penunggang motosikal berkuasa tinggi itu berjaya diselamatkan oleh kumpulan pemancing terbabit yang kebetulan berada di lokasi kejadian. Sebuah video yang tular di aplikasi Whatsapp dan Twitter menunjukkan rakaman ketika kejadian tersebut baru berlaku.
https://twitter.com/AkeemSharyzal/status/1343120988809035779
Salah seorang pemancing, Zunaidee Mohd Yusuf, 52, berkata dia dan tiga lagi rakannya ketika itu terdengar bunyi dentuman kuat dari arah jambatan. Mereka kemudian ternampak mangsa melayang terjatuh ke dalam sungai.
Saya bersama tiga rakan lain ketika itu sedang memancing udang galah dengan menyewa bot tidak jauh dari jambatan. Melihat kejadian itu, kami menghala bot ke arah mangsa selepas ternampak mangsa timbul dengan lengkap berjaket, topi keledar, kasut dan bersarung tangan.”
Mangsa yang masih sedar ketika itu terus ditarik ke dalam bot kerana dibawa arus yang deras dan diserahkan kepada pegawai perubatan. Sementara itu Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Kamaruddin Mat Salleh berkata kemalangan itu berpunca daripada kereta Proton Saga yang dipandu lelaki berusia 52 tahun memasuki laluan bertentangan sebelum dirempuh motosikal mangsa.
Siasatan awal mendapati kereta itu dari arah Sarang Tiong hendak menuju Ke Teluk Intan telah brek mengejut untuk mengelak kenderaan di hadapan yang dipandu perlahan dan memasuki laluan bertentangan.”
Tiba-tiba mangsa yang menunggang motosikal jenis Benelli dari arah depan telah melanggar bahagian tepi kereta terbabit hingga melambung atas jalan sebelum terjatuh ke dalam sungai.”
Mangsa berusia 36 tahun itu kemudian dihantar ke Hospital Teluk Intan untuk mendapat rawatan lanjut. Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Baca: ‘Belum Ajal’, Rider Grab Hanyut 1KM Dalam Tali Air Berjaya Diselamatkan Bomba