Latihan praktikal ataupun internship adalah satu bentuk latihan buat pelajar universiti sebagai persiapan sebelum mereka menghadapi dunia pekerjaan. Kebiasaannya, pelajar praktikal akan diberikan tugasan seakan-akan pekerja sepenuh masa di syarikat itu. Bercerita tentang pelajar praktikal, seorang individu ada meluahkan rasa kecewanya di media sosial tentang pelajar praktikal yang didakwa kurang mahir ketika tulis e-mel.
Dakwa pelajar praktikal tiada skil tulis e-mel
Menerusi satu perkongsian di Twitter, seorang individu mendakwa dia sedih dan kecewa dengan hasil kerja pelajar praktikal di bawah jagaannya. J
elas individu tersebut, dia meminta pelajar tersebut untuk menghantar e-mel memandangkan pelajar tersebut mahu memohon cuti.
Namun begitu, dia terkilan melihat e-mel diterima yang didakwa tidak profesional dan tidak lengkap.
Dalam e-mel tersebut, pelajar itu tidak meletakkan panggilan hormat serta ayat yang formal untuk memohon cuti. Juga, tiada ucapan terima kasih di akhir e-mel.
Individu ini turut mempersoalkan apa yang dipelajari pelajar praktikal itu ketika di universiti. Malah, dia juga berkata pelajar tersebut sepatutnya belajar tentang perkara ini dengan sendiri.
Warganet sangkal
Kenyataan individu tersebut ternyata tular di media sosial dan mendapat perhatian ramai warganet. Hasil tinjauan di ruangan komen mendapati rata-ratanya menyangkal kenyataan tersebut dan mempunyai pendapat sebaliknya.
Menurut seorang wargenet, dia berkata individu tersebut sepatutnya memberi teguran kepada pelajar tersebut memandangkan dia masih seorang pelajar universiti. Jelasnya, itulah tugas latihan praktikal; untuk memberi ilmu kepada pelajar.
“Nama pun intern. Guide lah dia. Bukannya screenshot khabar satu dunia”, tulis seorang warganet.
“Blacklist je majikan atau syarikat macam ni. Tak profesional. Ini tanda-tanda syarikat toxic. Intern atau tidak, ia bukan tiket untuk malukan dia di media sosial”, tulis seorang individu mengulas tentang isu ini.
Di akhir perkongsian, individu ini memberi penjelasan bahawa dia berhak untuk berasa kecewa dengan pelajar praktikal tersebut memandangkan dia membayar gaji pelajar tersebut.
“Cuba fikir macam ni, aku ambil dia bekerja, bayar dia, ajar dia, aku ada hak untuk buat apa yang aku buat sekarang”, dakwa individu tersebut.
Apa pendapat anda tentang isu ini? Adakah pelajar praktikal perlu menyiapkan segala ilmu sebelum latihan praktikal, ataupun latihan praktikal sebenarnya adalah medium untuk mereka belajar tentang dunia pekerjaan?
BACA: Setia Berkhidmat Selama 27 Tahun Di Stesen Minyak, Majikan Hadiahkan Pakcik Pakej Umrah