China menjadi negara yang dikenakan kadar tarif tinggi oleh Amerika Syarikat (AS), yang mana tarifnya kini mencecah 145%. Tidak berdiam diri, negara Tembok Besar China itu membalas dengan tarif 125% bagi barangan dari AS.
Susulan perang dagangan yang tercetus antara AS dan China, timbul dakwaan bahawa ada cubaan peniaga China memalsukan barangan dari negara itu bagi mengelak tarif tinggi yang dikenakan dengan taktik membabitkan nama Malaysia.
Menurut laporan Malay Mail, Bloomberg mendedahkan bahawa terdapat broker kargo yang berpangkalan di China didakwa mengubah laluan produk menerusi Malaysia.
Artikel berkaitan: Gara-gara Isu Tarif, Pengilang Di China Didakwa ‘Expose’ Jenama Mewah Buat Barangan Di Kilang Mereka
Artikel berkaitan: Tengku Zafrul Kata Tak Mustahil iPhone Boleh Cecah Harga Kereta, Kongsi Kesan Kenaikan Tarif Trump
Bukan itu sahaja, mereka secara palsu mengisytiharkan produk terbabit sebagai barangan ‘buatan Malaysia’ bagi mengeksploitasi tarif AS yang lebih rendah.
“Ramai klien kini pilih untuk menghantar produk China melalui Malaysia dan mendakwa ia buatan Malaysia,” kata seorang broker kepada Bloomberg.
Hal ini disebabkan tarif yang dikenakan bagi barangan dari Malaysia ke AS hanya sekitar 24% berbanding China.
Menurut Bloomberg lagi, tawaran sedemikian mula melonjak sejak Trump mengenakan tarif yang amat tinggi terhadap barangan import dari China.
Broker terbabit akan menghubungi peniaga dan menawarkan bantuan untuk mengurangkan kos dengan memalsukan nilai penghantaran atau tempat asal produk.
Boleh jejaskan nama Malaysia
Susulan tindakan yang dilakukan mereka, penganalisis perdagangan Malaysia meluahkan kebimbangan kerana perkara ini boleh menjejaskan kedudukan negara dalam pasaran global dan menyebabkan pengeksport yang sah berisiko menghadapi pemeriksaan yang lebih ketat.
Di bawah undang-undang kastam AS, pemalsuan pengisytiharaan negara asal produk adalah diharamkan dan mereka yang terlibat boleh dikenakan penalti sivil mahupun jenayah.
Setakat ini, Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) AS masih belum mengesahkan jika penguatkuasaan telah dipertingkatkan, namun akan bertindak jika terdapat aduan awam yang disalurkan melalui portal rasmi mereka.
Justeru, penganalisis menggesa Malaysia untuk bertindak segera bagi memastikan label eksportnya tidak dieksploitasi dalam perang perdagangan yang berlaku antara China dan AS.
Sumber: Malay Mail