Nampaknya dalam masa beberapa hari sahaja bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dah menarik tiga saman terhadap beberapa individu secara berturut-turut.
Sebelum ini, Najib menarik saman beliau terhadap bekas Presiden MCA, Tun Dr Ling Liong Sik berhubung dakwaan beliau menyalahgunakan dana kerajaan dan terhadap Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli berhubung isu penghapusan subsidi dan tuduhan fitnah cincin milik isterinya Datin Seri Rosmah Mansor.

Kali ini pula, menurut The Sun Daily, Najib dah tarik saman fitnahnya terhadap Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua dan pemilik media Rakyat, Chan Chee Kong berhubung ulasan anggota Parlimen Damansara itu berkaitan dengan 1MDB.
Saman fitnah tersebut dah berlangsung selama tiga tahun apabia Pua menyampaikan ucapan berkenaan skandal 1MDB yang melibatkan Najib dan kemudiannya dimuat naik di laman media.

Semasa saman difailkan, Najib meminta permohonan maaf, penarikan balik kenyataan dan pampasan.
Namun, kini selepas perbincangan di dalam kamar Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim, peguam Najib, Datuk Mohd Hafarizam Harun memberitahu saman tersebut telah ditarik.
“Selepas mendapat arahan daripada anak guam saya, kami telah menarik diri dengan syarat yang tidak didedahkan.”
Selain itu, difahamkan penarikan saman tersebut adalah tanpa kebebasan untuk memfailkan lagi. Sementara itu, Peguam Pua, Michelle Ng yang juga ADUN Subang Jaya dah mengesahkan penarikan saman itu.
Tarik lagi..

