Bayi lelaki berusia setahun yang meninggal dunia akibat tercampak keluar daripada kenderaan dalam nahas di Tol Bukit Kajang pada Sabtu lalu didapati tidak diletakkan di dalam child seat atau kerusi kanak-kanak.
Perkara itu didedahkan oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke yang memperoleh hasil laporan dan siasatan awal polis susulan kejadian kemalangan yang membabitkan lori muatan lusuh dengan empat kenderaan lain.
“Saya tidak menyalahkan mangsa atau ibu bapa, tetapi ini satu peringatan penting kepada semua. Ramai mengeluh apabila kerajaan mewajibkan penggunaan kerusi kanak-kanak kerana faktor kos, namun insiden ini membuktikan pentingnya ciri keselamatan itu.
“Bayangkan jika bayi berada dalam kerusi khas, mungkin dia tidak tercampak keluar dan nyawanya masih boleh diselamatkan,” katanya.
Artikel berkaitan: “Masih teringiang raungan mereka” – Lelaki Sebak, Kongsi Detik Sayu Kemalangan Di Plaza Tol Bukit Kajang
Artikel berkaitan: Nahas Plaza Tol Bukit Kajang: Pemandu Dakwa Brek Gagal Berfungsi, Lori Kali Terakhir Diservis April
Menurut laporan, dalam kejadian yang berlaku sekitar 11 pagi itu, mangsa yang tersepit di bawah kenderaan berjaya dikeluarkan anggota bomba, namun disahkan meninggal dunia di lokasi.
Tambah Loke, child seat adalah ciri keselamatan tambahan yang terbukti mampu melindungi nyawa penumpang kecil dan ia tidak boleh dipandang ringan.
“Setiap ciri keselamatan diperkenalkan mempunyai fungsi dan kebaikan tersendiri. Insiden ini sekali lagi membuktikan mengabaikan kerusi itu boleh membawa risiko besar kepada kanak-kanak,” katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai lori yang terlibat nahas tersebut, Loke berkata kenderaan berat terbabit memiliki permit sah dan masih mempunyai rekod PUSPAKOM, namun menegaskan pengendali tidak boleh lepas tangan.
Katanya lagi, pemandu lori mendakwa terpaksa melompat keluar untuk menyelamatkan diri kerana brek gagal berfungsi dan ketika ini polis masih meneruskan siasatan penuh.
Sumber: Berita Harian