Semalam, pesawat komersial Sriwijaya Air SJ182 yang berada dalam perjalanan dari Jakarta menuju Pontianak, Indonesia telah dilaporkan hilang dari radar.

Menurut laporan, pesawat model Boeing 737-500 terbabit dijadualkan berlepas dari Jakarta sekitar jam 1.30 petang waktu tempatan. Namun, berlepas satu jam kemudiannya pada 2.36 petang.
Kapal terbang itu dikhabarkan membawa 56 penumpang yang terdiri daripada 46 orang dewasa, tujuh kanak-kanak dan tiga bayi.
Menerusi maklumat laman Flightradar24, pesawat terbabit dikatakan terputus hubungan pada kedudukan 11 batu nautika di luar garis pantai Jakarta ketika berada dalam ketinggian 11,000 kaki menuju 13,000 kaki.
Sriwijaya Air flight #SJ182 lost more than 10.000 feet of altitude in less than one minute, about 4 minutes after departure from Jakarta.https://t.co/fNZqlIR2dz pic.twitter.com/MAVfbj73YN
— Flightradar24 (@flightradar24) January 9, 2021
Walau bagaimanapun, pesawat berkenaan mula berubah ke ketinggian 8,950 kaki dan jatuh ke 5,400 kaki sebelum kali terahir dilihat berada di 250 kaki.
Maklumat dari Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (Basarnas) pula melaporkan mereka ada mengenal pasti satu isyarat kecemasan di sekitar Pulau Laki dan Pulau Lancang, di kawasan perairan kepulauan Seribu.
Cebisan mayat ditemukan di lokasi hempasan pesawat
Awal pagi ini, Pasukan Tindakan Kecemasan melaporkan telah berjaya menemukan cebisan mayat semasa operasi mencari dan menyelamat (SAR) di perairan Seribu.
Menurut Kapten Eko Surya Hadi, pasukannya dikhabarkan turut menemukan jaket keselamatan, bahan bakar turbin penerbangan dan serpihan pesawat.
Memetik laporan BBC, saksi kejadian yang dikenali sebagai Solihin, 22, iaitu seorang nelayan berkata, dia dan beberapa yang lain ada melihat dan mendengar sekurang-kurangnya satu letupan.
“Ia berlaku agak dekat dengan kami. Serpihan pesawat hampir mengenai kapal kami,” katanya.
Lima ambulans dan 100 beg mayat disediakan di lokasi

Susulan daripada penemuan itu, Pasukan Palang Merah Indonesia (PMI) dilapor telah menyediakan lima buah ambulans beserta 100 beg mayat bagi membawa mangsa pesawat yang ditemui ke hospital.
Menurut Ketua Bahagian Pengurusan Bencana PMI Pusat, Ridwan S Charmab, lebih 50 anggota PMI dikerah bagi membantu operasi SAR.
Selain itu, PMI juga dilapor telah menyediakan beberapa buah bot bagi tujuan menunggu pasukan mencari dan menyelamat.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) kini masih giat dilakukan di sekitar Pulau Lancang.
Sementara itu, keluarga penumpang Pesawat Sriwijaya Air SJ182 dikatakan berkumpul di crisis centre semalam selepas berita kehilangan kapal terbang ini dilaporkan.
Sumber: Astro Awani, BBC,9News
Baca: Satu Keluarga ‘Pergi’… Kyara Putra, Mangsa Paling Muda Terkorban Nahas #LionAirJT610