Sebuah lori yang merempuh tiga kenderaan lain dalam insiden tragis di Plaza Tol Bukit Kajang, Lebuhraya SILK semalam didapati kali terakhir menjalani penyelenggaraan pada April lalu.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti sama ada kegagalan brek menjadi punca utama nahas itu.
“Semakan mendapati lori tersebut yang dipandu lelaki tempatan berusia 42 tahun memang ada diservis, tapi rekod terakhir sekitar bulan April.
“Sama ada benar brek gagal berfungsi, siasatan lanjut masih diteruskan,” katanya dalam satu kenyataan.
Artikel berkaitan: “10 tahun tunggu zuriat, anak pergi sekelip mata” – Bapa Bayi Maut Nahas Di Plaza Tol Bukit Kajang
Artikel berkaitan: “Masih teringiang raungan mereka” – Lelaki Sebak, Kongsi Detik Sayu Kemalangan Di Plaza Tol Bukit Kajang

Menurut beliau, lori berkenaan dalam perjalanan dari arah Semenyih menuju ke Putrajaya sebelum dipercayai hilang kawalan lalu merempuh kenderaan lain yang sedang beratur di plaza tol terbabit.
Akibat hentaman kuat itu, seorang bayi disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Selain itu, tujuh lagi mangsa cedera dan dirawat di Hospital Kajang, Hospital Serdang serta KPJ Kajang.
Dalam laporan awal, polis memaklumkan lori terbabit dipercayai mengalami masalah brek ketika cuba memperlahankan kenderaan sebelum memasuki kawasan tol sekitar pukul 10.50 pagi, semalam.
Sumber: Sinar Harian