Semalam, Malaysia dikejutkan dengan berita tergempar apabila pesawat peribadi yang berlepas dari Langkawi telah terhempas di Persiaran Elmina, Shah Alam.
Nahas tersebut malangnya telah meragut nyawa enam penumpang serta dua kru penerbangan termasuk EXCO Pahang, Datuk Seri Johari Harun dan satu pemandu kereta dan penunggang motosikal yang melalui kawasan tersebut ketika pesawat tersebut terhempas.
Lebih mengejutkan, Bandar Elmina ini merupakan tempat yang sama berlakunya nahas kapal terbang yang mengorbankan seramai 34 penumpang 46 tahun lalu. Ini apa yang berlaku…
Tragedi Japan Airlines di Elmina pada 1977
Pada 27 September 1977, pesawat Japan Airlines (JAL) 715 dari Tokyo melalui Hong Kong telah melakukan penerbangan rendah sebagai persediaan untuk mendarat di Lapangan Terbang Subang Antarabangsa sebelum berlakunya tragedi di kawasan yang sama dengan jet peribadi yang terhempas semalam.
Ketika itu, pesawat JAL McDonnell Douglas ini telah terhempas di lereng bukit ketika menurun dan meletup apabila terhempas di ladang getah yang dikenali sebagai Elmina Estate sebelum menjadi Bandar Elmina yang kita kenal pada hari ini.
Pesawat tersebut hanya berbaki 6 kilometer sebelum tiba ke lapangan terbang utama Malaysia pada ketika itu telah mengorbankan seramai 34 penumpang dari 69 penumpang dan 10 krew penerbangan. Manakala, 45 penumpang lain selamat.
Kalau korang nak tahu, insiden itu merupakan bencana penerbangan kedua paling membawa maut di Malaysia di mana lebih kurang dua bulan kemudian, pesawat MAS 653 telah terhempas di Tanjung Kupang, Johor menjadikan ia bencana penerbangan membawa maut paling dahsyat pernah berlaku di negara kita dengan 100 kematian dilaporkan.
Pesawat JAP 715 dengan nombor pendaftaran JA8051 itu pada awalnya telah berlepas dari Lapangan Terbang Haneda di Tokyo dan dalam perjalanan dari Lapangan Terbang Antarangsa Kai Tak di Hong Kong ke Kuala Lumpur (Subang) sebelum dijadualkan untuk terbang ke Lapangan Terbang Antarabangsa Changi di Singapura.
Macam mana boleh terhempas?
Dua jam selepas kapal terbang ini berlepas dari Hong Kong, pusat kawalan trafik Lapangan Terbang Antarabangsa Subang telah meminta pesawat JAL 715 bersiap sedia untuk mendarat di landasan 15.
Krew penerbangan telah meletakkan gear pendaratan dan memanjangkan kepak pesawat. Pesawat ini kemudiannya telah terbang rendah di bawah altitud penurunan minimun 230m ke 91m sebelum terhempas di lereng bukit.
Siasatan yang dijalankan ke atas insiden tersebut mendedahkan bahawa kapten pesawat itu telah menurun di bawah altitud minimun tanpa melihat landasan dan meneruskan penurunan sehingga pesawat tersebut telah melanggar bukit di Elmina.
Faktor tambahan yang menyebabkan tragedi tersebut berlaku adalah kurang pemantauan terhadap laluan pesawat oleh kapten disebabkan cuaca yang buruk serta beberapa pesawat lain yang sedang menunggu giliran mereka untuk mendarat.
Mangsa terselamat datang ke Malaysia
Kalau korang nak tahu, baru je beberapa hari lepas penumpang termuda nahas pesawat pada 1977 telah bertemu semula dengan bekas wartawan NST yang menyelamatkannya ketika tragedi tersebut berlaku.
Maria Jean Burkhart yang ketika itu baru sahaja berusia 3 tahun mengatakan bahawa wartawan tersebut, Nadeswaran adalah peringatan bahawa kehidupannya sangat bermakna untuknya.
Tuhan berikan tangan untuk selamatkan saya dan pastikan Nades ada di tempat yang sepatutnya. Saya kagum kerana saya dapat selamat selepas kemalangan tersebut.
“Saya boleh sahaja hilang pada ketika itu, tapi saya bertuah dapat diselamatkan oleh orang yang baik sepertinya.”
Maria telah terbang dari Oregon untuk bertemu semula dengan heronya ini dan mengucapkan terima kasih secara peribadi kepada Nadeswaran.
Maria dan ibunya Salima merupakan antara mangsa yang terselamat dalam nahas tersebut manakala bapanya, Robert Nelson yang ketika itu bekerja sebagai pengurus di kilang elektrik di Seremban merupakan salah seorang dari 34 yang meninggal dunia.
What are the odds?
Sumber: Malay Mail, NST, FMT
Baca: [TERKINI] “Nampak dah berkecai” – Pesawat Ringan Terhempas Di Elmina Shah Alam, 10 Dikhuatiri Maut