Salah seorang mangsa yang cedera dalam nahas bas yang membawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) malam tadi, Nur Irdina Huri, 22, mendakwa bas yang dinaiki mereka berbau hangit dan bergerak laju serta terhuyung-hayang semasa menuruni jalan yang berbukit di lokasi kejadian.
Menurut Harian Metro, mangsa juga mendedahkan yang dia telah cuba menyelamatkan diri menerusi lubang kecil yang ada dan tidak dapat membantu rakan-rakan yang lain.
Semasa kejadian saya tidak tidur, tetapi (kemalangan) itu berlaku dengan cepat sangat.
“Saya keluar dari bas ikut lubang kecil yang ada dan tidak dapat bantu rakan-rakan yang lain meminta tolong, sebab keadaan di lokasi sangat gelap,” katanya yang juga merupakan pelajar jurusan Pendidikan Awal Kanak-kanak di UPSI.
Kata Nur Irdina lagi, dia juga mengalami kecederaan di pinggang selain kakinya turut terseliuh.
Artikel berkaitan: “Ada yang tak putus asa mengajar rakan mengucap walaupun tahu sudah meninggal dunia” – Saksi Kemalangan Bas UPSI
Artikel berkaitan: Nahas Bas Pelajar UPSI: Mangsa Keluar Sendiri Selamatkan Diri, Ada Yang Terc*mpak
Dalam satu perkembangan lain, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, berkata, kesemua 13 jenazah mangsa yang terbabit dalam kemalangan bas tersebut akan dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh, untuk bedah siasat.
Tambah beliau lagi, dua jenazah lagi akan dibedah di Hospital Gerik, manakala mangsa yang cedera akan mendapat rawatan di hospital sama.
Pihaknya juga akan menyelaras bantuan penginapan untuk keluarga mangsa bersama Politeknik Ungku Omar, Ipoh dan Kolej Komuniti Gerik.
Terdahulu, Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Angkatan Pertahanan Awam (APM) Hulu Perak dalam kenyataan memaklumkan, sekurang-kurangnya 15 maut dalam kemalangan melibatkan sebuah bas yang membawa pelajar UPSI dan sebuah kenderaan di JRTB Banun, Gerik awal pagi tadi.
Al Fatihah buat mangsa yang terlibat…
Sumber: Harian Metro, Berita Harian