Siapa yang masih ingat juara Akademi Fantasia 2? Kalau jawapan anda Adam, memang salah! Juara sebenar ialah Zahid, atau nama penuhnya Ahmad Zahid Baharuddin.
Hari ini, Zahid, 46, mencuri perhatian warganet selepas memuat naik gambarnya ketika menjuarai pertandingan nyanyian popular itu menerusi akaun Threads miliknya.
“Tak boleh tidur… Nah untuk semua yang lupa! Hentikan spekulasi ini. Nampak abang pegang bola-bola warna emas itu? Hahahaha,” tulisnya berseloroh.

Artikel berkaitan: 5 Sebab Mengapa Akademi Fantasia 5 Paling Menggamit Memori Antara Semua
Artikel berkaitan: Bekas Peserta AF6, Mama Rina Hadapi Masalah Diabetes, Kaki Kanan Terpaksa Dip*tong
Menurut penyanyi berusia 46 tahun itu, dia ‘terpaksa’ membuka akaun Threads pada tahun 2026 selepas terbaca satu hantaran pengguna lain yang mendakwa juara Akademi Fantasia musim kedua adalah Adam.
Difahamkan, pengguna tersebut tersilap ketika menyenaraikan juara-juara Akademi Fantasia terdahulu apabila meletakkan nama Adam sebagai pemenang musim kedua. Namun, hantaran tersebut kini telah dipadam.
“Sedih saya diperlakukan sebegini… Selamat tahun baharu semua,” katanya lagi.
Bagaimanapun, Zahid yang berasal dari Teluk Intan, Perak itu kemudiannya menjelaskan menerusi satu lagi hantaran bahawa kenyataannya itu hanyalah sekadar gurauan.
“Eh, korang ini lebih-lebih pula. Aku tak halalkan roti canai yang aku belanja 21 tahun lepas itu… hahahahaha! Gurau-gurau saja.”
Kini, hantaran tersebut telah menerima hampir 472 tanda suka dan 92 komen.
Pada rancangan Akademi Fantasia musim kedua, Zahid muncul sebagai juara, diikuti Norlinda Nanuwil (Linda) dari Ranau, Sabah selaku naib juara, manakala Mohd Aizam Mat Saman (Adam) dari Kota Kinabalu, Sabah menduduki tempat ketiga.
Sumber: Threads Zahid Baharuddin
