Hujung minggu lalu, tular berita mengatakan MySejahtera telah diambil alih oleh MySJ Sdn Bhd dari syarikat yang membangunkan aplikasi tersebut KPISoft Malaysia Sdn Bhd. selepas dipersoalkan oleh Jawatankuasa Akaun Awam (PAC).
Dikatakan, Kabinet telah memberikan lampu hijau pada November tahun lalu bagi membenarkan MySJ mengambil alih aplikasi tersebut melalui rundingan terus.
Ekoran ini, ramai netizen telah meluahkan rasa bimbang mereka jika data-data yang telah dimuat naik di MySejahtera dijual kepada pihak luar. Sehingga ramai yang mengatakan keinginan mereka untuk membuang aplikasi tersebut.
“Dimiliki sepenuhnya oleh Kerajaan”
Menjawab kegusaran orang ramai, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin mengeluarkan kenyataan semalam mengatakan bahawa aplikasi MySejahtera adalah sepenuhnya milik kerajaan dan KKM.
KKM ingin menjelaskan bahawa kerajaan tidak pernah menjual aplikasi MySejahtera kepada mana-mana syarikat swasta. Pada 26 November 2021, pihak kerajaan telah memutuskan bahawa aplikasi MySekahtera adalah hak milik kerajaan dan KKM dilantik sebagai pemilik utama aplikasi ini untuk pengurusan kesihatan awam negara.
Selain itu kerajaan tidak pernah membuat sebarang bayaran kepada syarikat KPISOFT Sdn. Bhd. yang telah membangunkan aplikasi MySejahtera.”
MySejahtera dimiliki sepenuhnya oleh Kerajaan dengan KKM sebagai pemilik utama termasuk semua data yang diterima MySj. Kerahsiaan data adalah terjamin dan KKM akan sentiasa memastikan aspek ini tidak dikompromi. pic.twitter.com/DcRCID0vXb
— Khairy Jamaluddin 🇲🇾🌺 (@Khairykj) March 27, 2022
KKM berharap orang ramai akan terus menggunakan aplikasi MySejahtera tanpa ragu-ragu. Kerahsiaan data orang ramai adalah terjamin dan KKM akan sentiasa memastikan aspek ini tidak dikompromi.
Baca: MySejahtera Alami ‘Glitch’, KKM Minta Pengguna Abaikan Temujanji Dos Penggalak Yang Ke-2